Kabinet Baharu Tidak Ubah Nasib Rakyat, Laluan PN ke PRU16 Kian Terbuka – Adun PAS

KUALA LUMPUR, 19 DIS 25  – Rombakan Kabinet Kerajaan MADANI yang diumumkan baru-baru ini dilihat tidak membawa perubahan signifikan kepada rakyat, sebaliknya memberi kelebihan strategik kepada Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman.

Menurut beliau, rombakan tersebut lebih bersifat usaha terdesak kerajaan untuk memulihkan keyakinan rakyat yang semakin merosot, namun gagal menyentuh punca sebenar kekecewaan awam terhadap prestasi pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Rakyat tidak lagi teruja dengan pengumuman kabinet baharu. Terlalu banyak janji yang dimungkiri dan terlalu banyak kerosakan dilakukan di pelbagai peringkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Haim berpandangan, rombakan itu juga tidak disertai pembaharuan dasar yang jelas, menyebabkan pertukaran individu semata-mata gagal mengubah realiti kehidupan rakyat. Beliau menegaskan bahawa menukar wajah dalam kabinet tanpa perubahan halatuju hanya mengukuhkan persepsi bahawa kerajaan kehilangan sentuhan dengan denyut nadi rakyat.

Mengulas pelantikan menteri dan timbalan menteri baharu, beliau mendakwa kebanyakan pelantikan dibuat berdasarkan kedudukan dalam parti, bukannya merit, pengalaman atau prestasi pentadbiran.

Katanya, wakil daripada Pakatan Harapan pula didakwa kurang pengalaman, manakala wakil daripada Barisan Nasional, khususnya UMNO, meskipun berpengalaman, mempunyai rekod prestasi yang dipersoalkan.

“Keadaan ini menjadikan rombakan kabinet tidak mampu meletakkan Kerajaan MADANI di kedudukan istimewa dalam hati rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dr. Haim menyifatkan rombakan kabinet kali ini sebagai peluang keemasan kepada PN, kerana beliau yakin tiada “magis” atau perubahan luar biasa akan berlaku hasil susunan baharu tersebut.

“PN seharusnya berterima kasih. Rombakan ini memudahkan kerja pembangkang menghadapi PRU16 kerana kerajaan akan terus beroperasi seperti biasa, dengan segala kelemahan yang sedia ada,” katanya.

Beliau turut menyeru PN, khususnya PAS, agar memperkukuh persiapan dan tampil sebagai alternatif masa depan yang diyakini rakyat, sambil menegaskan bahawa rakyat kini sedang memerhati setiap langkah kerajaan dengan lebih kritikal. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share