Anwar Mohon Imuniti Mahkamah Daripada Saman Sivil Yusoff Rawther

KUALA LUMPUR, 28 Mei 25 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor memohon Mahkamah Tinggi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan untuk ditentukan, termasuk sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan Yusoff Rawther, lapor FMT.

Anwar mahu mahkamah memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman difail bekas penyelidik itu empat tahun lalu.

Saman itu berkaitan kejadian didakwa berlaku sebelum Anwar memegang jawatan perdana menteri pada 24 November 2022.

Dalam permohonan difailkan firma guamannya yang baru dilantik, Tetuan Zain Megat & Murad, minggu lalu, Anwar meminta mahkamah memutuskan sama ada saman itu akan menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif dan melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang termaktub dalam perlembagaan.

Beliau juga mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada prosiding saman itu akan melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Anwar berkata saman itu berasaskan dakwaan ‘direka’ dan beliau menjadi mangsa ‘sabotaj reputasi bermotifkan politik’.

Beliau turut memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi wajib menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada saman itu penyalahgunaan proses atau ancaman kepada kepentingan awam, dan jika ya, sama ada ia perlu digantung atau dibatalkan ‘demi mengekalkan tadbir urus berperlembagaan’.

Permohonan itu juga memohon penentuan sama ada Anwar, sebagai perdana menteri semasa, berhak menurut Perkara 5(1) Perlembagaan untuk ‘perlindungan daripada penggugat litigasi’ yang memfailkan saman yang ‘disusun secara strategik atau dipolitikkan untuk menjejaskan keupayaannya mentadbir’.

Anwar memohon rujukan ini di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan. @sumber

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share