Calon PN Tanjung Kapor Yakin Mampu Selesai Isu Tanah Perkuburan di Kudat

KUDAT, 17 NOV 25 — Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri Tanjung Kapor, Affan Jumahat, memberi jaminan bahawa isu tanah perkuburan yang semakin kritikal di daerah itu akan menjadi keutamaan sekiranya beliau diberi mandat pada pilihan raya kali ini.

Menurut Affan, tanah perkuburan di Kudat sudah terlalu sesak selepas puluhan tahun tanpa penambahan kawasan baharu.

“Tanah perkuburan ini sudah menjadi satu permasalahan untuk daerah Kudat. Sekian lama, puluh-puluh tahun tanah perkuburan ini tidak ada gazet tempat yang lain,” katanya dalam satu rakaman video, semalam.

Beliau berkata masalah itu berpunca daripada kurangnya perhatian oleh kepimpinan terdahulu dalam menyediakan kawasan perkuburan yang mencukupi untuk penduduk Islam yang merupakan sebahagian besar masyarakat di daerah itu.

“Ini disebabkan pemimpin sekarang dan terdahulu kurang memberi penekanan untuk menentukan di manakah tanah kuburan yang sesuai bagi orang-orang Islam,” ujarnya.

Affan menegaskan bahawa kebajikan rakyat merupakan teras agendanya, dan antara keutamaannya adalah memastikan penyediaan tanah perkuburan baharu yang lebih luas, teratur dan sesuai bagi komuniti Islam di Kudat.

“Dalam agenda saya, kebajikan rakyat itu utama. Apabila kita mendapat kejayaan ini, kita akan fikirkan di mana tanah kuburan yang sesuai. Kita akan berikan tanah yang luas untuk orang Islam,” katanya.

Beliau berkata penyelesaian menyeluruh terhadap isu ini amat penting demi menjaga keperluan masyarakat dan memastikan pengurusan akhir hayat dilakukan dengan bermaruah.

DUN Tanjung Kapor memiliki sekitar 60 peratus masyarakat Islam di mana masalah tanah perkuburan sudah berlarutan sejak sekian lama. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share