
KUALA LUMPUR, 13 Jul 25 – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menuntut penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Pemimpin pembangkang itu turut memberi amaran kegagalan perdana menteri menjelaskan dakwaan campur tangan badan kehakiman boleh menyebabkan beliau kehilangan jawatan.
Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, petikan dokumen sulit yang didakwa bocor itu amat membimbangkan dan membawa implikasi serius terhadap integriti badan kehakiman serta kedudukan perdana menteri.
“Perdana menteri didesak untuk segera tampil memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat.
“Sekiranya dakwaan ini benar dan tidak dapat disangkal dengan fakta yang tuntas, maka perdana menteri wajar meletakkan jawatan serta-merta,” tegasnya, dalam satu hantaran Facebook.
Malah, Fadhli menegaskan, institusi kehakiman, khususnya para hakim kanan agar tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat sistem keadilan.
“Keadilan apabila ditegakkan kelak, tidak akan mengenal darjat atau kedudukan sesiapa.
“Mana-mana pihak yang terlibat dalam cubaan mencemar institusi kehakiman akan tetap diadili,” tegasnya.
Media melaporkan satu petikan minit mesyuarat JAC yang didakwa dari bulan Mei telah tersebar di media sosial.
Minit tersebut yang merupakan dokumen sulit, dilaporkan mengandungi dakwaan yang serupa dengan laporan polis yang dibocorkan sebelum ini dan dibuat bagi pihak seorang hakim kanan pada bulan Jun. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.