PN Pahang Desak Tindakan Tegas Terhadap Pencerobohan Tanah

KUALA LUMPUR, 11 Mei 25 – Aktiviti pencerobohan tanah di Pahang perlu ditangani dengan tegas tanpa sebarang kompromi, tegas dua pemimpin Perikatan Nasional (PN) negeri dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abd Jabar dan Timbalan Ketua Bersatu Pahang, Jasri Jamaludin, menzahirkan penghargaan kepada perhatian serta tindakan yang diambil oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam menangani isu yang telah berlarutan sejak berdekad lalu.

Menurut mereka, ketegasan dan keberanian yang ditunjukkan oleh baginda adalah manifestasi kepimpinan berdaulat dalam mempertahankan kedaulatan negeri serta maruah undang-undang.

Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Lumpur dan Jasri (Adun Kuala Sentul) turut melahirkan kekesalan berhubung pendedahan terbaru mengenai keluasan tanah yang diteroka secara haram di daerah Raub.

“Jumlah kawasan yang diteroka didapati jauh lebih besar daripada angka yang dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pahang yang berakhir pada 24 April lalu,” kata Jasri.

Tambah beliau, perbezaan besar antara data sebenar dan data yang dibentangkan menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan pihak berkuasa negeri.

“Apakah maklumat yang diberikan kepada Tuanku telah dimanipulasi? Adakah angka-angka ini sengaja dikecilkan untuk melindungi pihak tertentu?

“Lebih mendukacitakan, hingga kini belum ada sebarang tindakan tegas dikenakan terhadap penceroboh yang jelas melakukan kesalahan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Rosli menyifatkan kegagalan pentadbiran negeri bertindak terhadap penceroboh sebagai tindakan yang menghina titah diraja serta mencemar nama baik institusi raja.

“Kerajaan negeri perlu menjawab secara jujur – siapa yang melindungi peneroka haram ini? Siapa mendapat manfaat daripada penanaman Musang King di atas tanah kerajaan dan hutan simpan kekal?

“Adakah wujud campur tangan politik termasuk daripada parti komponen tertentu yang dikenal pasti secara terbuka membela penceroboh sehingga menghalang tindakan diambil?” soalnya.

Dalam kenyataan bersama itu, mereka turut menegaskan bahawa sebarang cubaan memperlekeh atau mengkhianati titah Al-Sultan Abdullah adalah tindakan tidak berperlembagaan dan tidak boleh dimaafkan.

“Ini bukan soal politik kepartian. Ini soal maruah negeri, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Jika kerajaan negeri tidak lagi berani bertindak hanya kerana tekanan sekutu politik, maka langkah terbaik adalah menilai semula komposisi kerajaan sedia ada,” tegas mereka.

Rosli dan Jasri turut menyatakan bahawa PN bersedia memberikan sokongan penuh kepada kerajaan negeri jika berani bertindak adil dan tegas terhadap penceroboh tanah, tanpa tunduk kepada tekanan politik.

“Kita tidak boleh membiarkan pengkhianatan terhadap negeri ini terus berlaku atas nama kompromi politik.

“Jangan sampai suara raja, suara rakyat dan kedaulatan negeri menjadi permainan angka dan retorik semata-mata,” katanya lagi. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share