Wan Fayhsal Persoal Ketelusan Kerajaan Isu Sempadan Sabah-Kalimantan

KUALA LUMPUR | 24 Jan 26 – Ketua Portfolio Hubungan Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mempersoalkan isu berkaitan persempadanan darat antara Malaysia dan Indonesia.

Isu tersebut menimbulkan kontroversi apabila laporan media antarabangsa mendakwa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah di Nunukan, berdekatan sempadan Sabah-Kalimantan, sementara Malaysia hanya memperoleh 4.9 hektar di Pulau Sebatik.

Wan Fayhsal dalam satu kenyataan, menegaskan bahawa kerajaan Malaysia wajar menjelaskan perkara ini secara telus dan terbuka kepada rakyat serta Dewan Rakyat.

“Adalah amat mendukacitakan apabila rakyat Malaysia terpaksa mendapat tahu mengenai status kedaulatan tanah air sendiri melalui media asing dan kenyataan menteri negara jiran,” kata beliau.

Wan Ahmad Fayhsal turut mempersoalkan tindakan Wisma Putra yang masih berdiam diri tanpa sebarang kenyataan rasmi untuk menjelaskan terma-terma memorandum yang ditandatangani pada Februari 2025. Beliau juga menimbulkan persoalan sama ada terdapat klausa kerahsiaan yang menghalang rakyat mengetahui status tanah mereka sendiri.

“Mengapakah sehingga ke hari ini Wisma Putra masih membisu tanpa sebarang kenyataan media rasmi untuk menjelaskan terma-terma memorandum yang ditandatangani pada Februari lalu?

“Adakah terdapat sebarang klausa kerahsiaan yang menghalang rakyat Malaysia daripada mengetahui nasib tanah jajahan mereka sendiri? Soal beliau.

Terdahulu, media Tempo melaporkan, dalam memorandum yang ditandatangani pada 18 Februari 2025, kira-kira 127 hektar wilayah Pulau Sebatik menjadi milik Indonesia, manakala Malaysia memperoleh 4.9 hektar wilayah.

Media turut melaporkan bahawa, Malaysia memberikan 5,207 hektar tanah kepada republik itu sebagai pampasan untuk tiga kampung kawasan Nunukan, berdekatan sempadan Sabah-Kalimantan.

Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Sempadan (BNPP) Indonesia, Makhruzi Rahman berkata, perkara itu berlaku susulan peralihan garis sempadan antara kedua-dua negara, susulan perjanjian penyelesaian sempadan.

Wan Ahmad Fayhsal menegaskan bahawa kedaulatan wilayah bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi ia adalah maruah negara. Beliau mendesak Menteri Luar Negeri untuk segera mengeluarkan kenyataan rasmi dan membentangkan kertas putih di Parlimen bagi menjelaskan fakta sebenar isu persempadanan ini. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share