
KUALA LUMPUR, 24 Jul 25 – Rakyat mahukan reformasi dan bukannya retorik manis tanpa tindakan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Putra.
Ketua Wirawati Putra Nurhafizah Jamalludin berkata, pemberian RM100 oleh Anwar kepada seluruh rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas juga tidak mampu membeli keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
“Namun bagi rakyat marhaen yang setiap hari bergelut dengan kos sara hidup yang semakin membebankan, pengumuman ini tidak lebih daripada retorik politik yang menutupi kegagalan dasar sebenar. Inilah gula-gula populis yang tidak menyentuh dasar.
“RM100 yang diberikan kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas tanpa penyasaran langsung bukanlah langkah yang berkesan.
“Jumlah kecil itu tidak mampu menampung keperluan asas isi rumah dalam tempoh seminggu, apatah lagi dalam suasana inflasi yang berterusan. Tambahan pula, kerajaan akan menarik balik sepenuhnya subsidi telur bermula 1 Ogos 2025,” katanya, dalam kenyataan.
Nurhafizah berkata, mereka perlukan kepastian harga barang tidak akan terus naik, disamping peningkatan Jualan Rahmah yang diperluas ke seluruh negara tidak cukup jika harga barangan lain tidak dikawal.
Selain itu katanya, pemberian RM100 tanpa sasaran bukan reformasi, tetapi pengulangan strategi populis.
“Rakyat hari ini lebih celik dan tidak lagi terpesona dengan gula-gula sementara. Mereka melihat kegagalan struktur dalam sistem ekonomi negara yang tidak dikendalikan dengan serius,” katanya lagi.
Disebabkan kegagalan itu, himpunan Turun Anwar hujung minggu ini katanya bakal mendapat sambutan menggalakkan.
“Kesimpulannya, rakyat mahu reformasi bukan retorik. Kerajaan Madani perlu sedar bahawa keyakinan rakyat tidak boleh dibeli dengan RM100.
“Jika mereka terus beroperasi dengan pendekatan PR tanpa menyentuh isu pokok, maka laungan “Turun” bukanlah ancaman kosong, ia adalah manifestasi sebenar kekecewaan rakyat.
“Rakyat tidak akan lagi diam, dan mereka tidak akan mudah dibeli,” katanya lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.