Apa Pun Status EXCO, Urusan Rakyat Tak Boleh Diabaikan – ADUN Sikamat

SEREMBAN | 25 Sep 26 – Di tengah perkembangan terkini berhubung status 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan, termasuk dirinya, ADUN Wawasan Sikamat, Datuk Razali Abu Samah menegaskan urusan masyarakat tidak boleh diabaikan.

Warta Kerajaan Negeri Sembilan yang diterbitkan semalam mengesahkan pembatalan pelantikan 10 EXCO, termasuk Razali, berkuat kuasa 20 September atas perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Namun, dalam kenyataan terbaharunya, Razali memilih untuk menekankan tanggungjawab kepada penduduk Sikamat, terutama dalam mendengar dan menangani masalah masyarakat.

“Apa pun yang sedang berlaku di luar sana, urusan masyarakat tetap tak boleh kita abaikan,” katanya.

Menurut Razali, setiap kali turun bertemu penduduk, sentiasa ada perkara yang mahu disampaikan dan isu yang memerlukan perhatian.

“Bila kita dengar sendiri daripada mereka, kita lebih faham apa yang sebenarnya berlaku di kawasan setempat,” katanya.

Beliau berkata perkara yang boleh dibantu akan diusahakan, manakala isu yang memerlukan tindakan agensi berkaitan akan dipanjangkan kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Maka mana yang boleh kita bantu, kita usahakan. Mana yang memerlukan tindakan agensi berkaitan, kita panjangkan kepada pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Razali berkata pendekatan itu merupakan rutin yang perlu diteruskan, iaitu turun padang, mendengar, melihat dan melakukan apa yang termampu.

“Yang penting, jangan sampai ada masyarakat di DUN Sikamat yang datang ingin mengadu masalah tetapi pulang dengan rasa mereka tidak didengari,” katanya.

“Selagi mampu, InsyaAllah kita teruskan,” katanya.

Razali merupakan antara 10 EXCO Negeri Sembilan yang pelantikannya dibatalkan berkuat kuasa 20 September. Menurut warta berkenaan, pembatalan itu dibuat selepas Yang Dipertuan Besar menyatakan bahawa kesemua mereka telah melanggar ikrar taat setia.

Status pentadbiran barisan EXCO berkenaan menjadi perhatian selepas sebelum ini dilaporkan mereka masih hadir ke pejabat dan menjalankan tugas seperti biasa. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share