
BANGI | 15 Julai 26 – Ahli Parlimen Machang yang juga Ketua Penerangan Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan Parlimen Bangi sebagai “crown jewel” atau permata utama dalam usaha merampas Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada pentas PAS di Bandar Baru Bangi, semalam.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, kemenangan di Bangi bukan sahaja penting untuk mengubah landskap politik di kawasan itu, malah mampu menjadi pemangkin kepada perubahan pentadbiran di Selangor.
“Kalau Bangi tumbang, memang Selangor pun tumbang. Insya-Allah kita ada kerajaan di Selangor.
“Itu bagi saya crown jewel untuk kita rampas Selangor pada PRU akan datang dan saya yakin kita boleh,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut mengajak rakyat Bangi melihat pilihan raya daripada sudut masa depan negara, bukannya sekadar persaingan politik.
Beliau berkata, sebagai bandar yang dikenali dengan komuniti intelektual dan institusi pengajian tinggi, Bangi mempunyai tanggungjawab untuk memimpin perubahan berdasarkan kefahaman terhadap isu-isu nasional.
“Orang Bangi, saya kata tadi, orang bijak pandai. Takkan orang Bangi tak boleh berfikir lebih jauh berbanding orang lain, melibatkan masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal turut menegaskan bahawa walaupun Bangi bukan kawasan pertanian, penduduknya tidak boleh memisahkan diri daripada isu keselamatan makanan dan kebajikan rakyat di seluruh negara.
Beliau mengambil contoh perbahasan mengenai industri padi dan beras di Parlimen yang menurutnya tetap relevan kepada warga Bangi kerana kawasan itu menempatkan kepakaran penyelidikan pertanian seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
“Walaupun Bangi ini bandar intelektual, orang Bangi tidak terpisah dengan denyut nadi rakyat di Machang, Kuala Kedah dan kawasan lain,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mendakwa terdapat perubahan corak sokongan pengundi di beberapa kawasan termasuk dalam kalangan masyarakat Cina di Johor, yang menurutnya menunjukkan perubahan sentimen politik.
Beliau berkata perkembangan itu perlu diterjemahkan melalui usaha penerangan yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan kefahaman rakyat mengenai isu-isu melibatkan masa depan negara.
“Tak kira orang PAS atau bukan, orang Wawasan atau orang bukan, kita sedang bercakap tentang masa depan negara.
“Kalau Bangi kita boleh beri penerangan dan kefahaman yang lebih jelas tentang masa depan negara serta ancaman yang dihadapi negara, insya-Allah saya yakin kita boleh rampas Parlimen Bangi,” katanya.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa momentum tersebut mampu diperluaskan ke negeri-negeri lain sebelum diterjemahkan dalam PRU akan datang bagi mengubah landskap politik negara dalam jangka panjang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.