DAP : Dari Kekalahan Total Di Sabah Kepada Kemenangan Bergaya Di Pusat

Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dibaca secara terpisah daripada kronologi politik yang bermula dengan kekalahan total DAP di Sabah.

Dalam pilihan raya negeri itu, DAP tewas di kesemua kerusi yang ditandingi, satu tamparan besar kepada parti yang selama ini mendakwa memiliki sokongan bandar dan pengundi Cina yang kukuh. Kekalahan menyeluruh ini bukan sekadar kekalahan pilihan raya, tetapi krisis legitimasi politik.

Susulan keputusan tersebut, DAP dengan agresifnya memulakan gerakan terbuka kepada Anwar supaya agenda reformasi dipercepatkan dalam tempoh tiga bulan. Desakan ini dilihat sebagai usaha menyelamatkan sokongan teras parti, khususnya pengundi Cina yang semakin resah dengan prestasi kerajaan Madani dan kelambatan memenuhi janji reformasi institusi.

Dalam konteks yang sama, isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kembali ditekan sebagai tuntutan utama. Semua pihak sibuk membincangkan isu UEC ini.

Walaupun kerajaan sedar sensitiviti politik dan implikasi etnik isu ini, DAP dilihat tidak berganjak, menjadikan UEC sebagai simbol komitmen kerajaan terhadap sokongan pendidikan Cina.

Lebih menarik, wujud gambaran politik bahawa DAP bersedia keluar daripada kerajaan sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi. Imej simbolik Anthony Loke berdiri di hadapan Anwar sebelum ini kembali diungkit, memperkukuh persepsi bahawa DAP tidak sekadar rakan komponen, tetapi pihak yang memiliki leverage politik besar dalam kelangsungan kerajaan.

Pada peringkat awal, Anwar menegaskan rombakan Kabinet hanya bertujuan mengisi kekosongan jawatan akibat peletakan jawatan dan tamat tempoh senator. Namun realitinya, rombakan tersebut berkembang menjadi penyusunan semula yang memberi kelebihan jelas kepada DAP, melangkaui tujuan asal.

Gerakan ‘gung ho’ DAP ini akhirnya membuahkan hasil lumayan.

Akhirnya, DAP muncul sebagai parti yang menguasai kementerian strategik, khususnya berkait wilayah, bandar dan ekonomi, dengan jumlah menteri paling ramai sejak era Barisan Nasional.

Walaupun secara rasmi ia dibingkaikan sebagai keperluan tadbir urus, secara politik ia mengukuhkan persepsi bahawa DAP bukan pihak yang kalah dalam rombakan ini, sebaliknya pemenang utama dalam percaturan pasca-PRU15.

Dengan kedudukan ini, tidak timbul lagi isu UEC, tidak timbul lagi isu desakan reformasi dalam tempoh tiga bulan, dan tidak timbul lagi isu mahu keluar kerajaan, kerana segala hajat DAP, telah dicapai. @analitiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share