
KUALA LUMPUR, 20 Sep 25– Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz diingatkan agar lebih berhemah dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, kata Exco Armada Arib Abu Kassim.
Sebagai ketua penerangan parti, Tun Faisal seharusnya mengelak daripada mengeluarkan kenyataan mengandungi unsur adu domba yang menjauhkan sokongan anak muda, katanya.
“Peranan Ketua Penerangan – saudara Tun Faisal diingatkan agar memainkan peranan dengan lebih berhemah, berdisiplin, dan berstrategi dalam menyampaikan mesej parti supaya selari dengan semangat penyatuan dan hala tuju kepimpinan.
“Semua pihak perlu menjauhi sikap adu domba yang boleh melemahkan semangat anak muda untuk menerima dan menyokong perjuangan PN. Anak muda adalah aset masa depan, justeru mesej parti mesti jelas, positif, dan membina keyakinan,” katanya, dalam satu kenyataan.
Tambah Arib, keutamaan Bersatu adalah memperjuangkan kebajikan rakyat, bukan membuka ruang kepada musuh politik untuk melemahkan semangat perjuangan.
Menurutnya lagi, sebarang kelemahan dalam parti bukanlah sebab untuk melemahkan semangat penyokong, sebaliknya mesti dijadikan ruang memperkukuh kekuatan dalaman.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pimpinan parti, khususnya ketua penerangan, mestilah berhati-hati kerana ia boleh dimanipulasi pihak lawan untuk melemahkan imej Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
“PN perlu memandang ke hadapan dengan meningkatkan disiplin, memperkukuh kepercayaan rakyat, dan menutup sebarang kelemahan dalaman yang boleh dijadikan senjata pihak lawan,” tambahnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.