
SEREMBAN | 10 Feb 26 — Desakan tujuh Bahagian BERSATU di Negeri Sembilan untuk memecat Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dipersoalkan apabila Armada Bandar Baru Nilai mendakwa tindakan tersebut mungkin tidak lahir daripada suara sebenar akar umbi.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Armada Bandar Baru Nilai membangkitkan persoalan sama ada memorandum yang tular sejak pagi tadi itu benar-benar hasil keputusan bersama di peringkat bahagian, atau sekadar menyampaikan hasrat pihak tertentu di peringkat pimpinan, termasuk Ketua BERSATU Negeri Sembilan.
Ketua Armada Cawangan Bandar Baru Nilai, Ajwil Awil, menegaskan bahawa sebarang pendirian atau tindakan penting yang melibatkan kepimpinan tertinggi parti wajar dibuat melalui proses yang telus, inklusif dan berlandaskan suara ahli di semua peringkat, bukan berasaskan arahan semata-mata.
“Sekiranya kenyataan berkenaan dikeluarkan atas arahan Ketua BPN tanpa melalui perbincangan dan persetujuan akar umbi, adalah lebih wajar sekiranya ketua-ketua bahagian terlebih dahulu mendapatkan pandangan serta mandat daripada ahli di peringkat Cawangan.
“Langkah ini penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan suara kolektif dan semangat demokrasi dalam parti. Katanya.
Ajil turut memberikan contoh bahawa mereka tidak pernah menerima sebarang notis, pemakluman atau jemputan perbincangan berkaitan memorandum desakan pemecatan tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan serius tentang sejauh mana pandangan akar umbi diambil kira.
“Sebagai contoh, kami di peringkat cawangan Bandar Baru Nilai (Bhg. Seremban), kami tidak pernah menerima sebarang notis, pemakluman atau jemputan perbincangan berkaitan desakan memorandum ini.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada pandangan akar umbi benar-benar diambil kira sebelum sesuatu kenyataan awam dikeluarkan. Ujarnya.
Baru-baru ini, Bersatu Negeri Sembilan telah menghantar memorandum bertarikh 5 Februari yang dihantar kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, mendesak supaya Ahli Parlimen Larut itu dipecat.
Terdahulu, Lembaga Disiplin telah mengeluarkan notis kepada Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk hadir ke Lembaga Disiplin pada Khamis ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.