Akhbar Sin Chew Khianat Raja Dan Negara, Dakwa Ahli Akademik

KUALA LUMPUR, 16 APR 25 – Ahli akademik Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican mendakwa tindakan akhbar Sin Chew Daily memaparkan bendera Malaysia tanpa simbol bulan sabit di muka hadapan surat khabarnya semalam merupakan satu tindakan pengkhianatan dan penderhakaan kepada raja dan negara.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berpandangan akhbar tersebut perlu dikenakan hukuman setimpal dan diharamkan penerbitannya.

“Ini adalah tanda pengkhianat dan derhaka kepada raja dan negara. Tidak Ada gunanya kekalkan suratkhabar dan kewartawanan Cina Di Malaysia. Apakah ini hasutan? Siapa yang menghasut?

“Selain haramkan Sin Chew Daily, juga dakwa editor dan sidang editorial yang terbabit,” kata Murad, kepada politico.my.

Gambar muka hadapan itu memaparkan bendera Malaysia yang diletakkan bersebelahan bendera China bersempena lawatan Presiden Xi Jinping ke Malaysia bermula semalam.

“Kenapa tidak Ada kesilapan pada bendera China?

“Ini Satu kes yang membabitkan keselamatan dan maruah negara,” katanya.

Majlis Media Malaysia juga katanya perlu mengambil tindakan dan nota bantahan dihantar kepada penerbitan akhbar terbabit.

“Permohonan maaf tidak diterima,” kata Murad lagi.

Sin Chew Daily bagaimanapun membuat permohonan maaf dan menjelaskan ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan dan membuat pindaan kepada versi digital.

“Kami merasa amat kesal dan kecewa dengan kekhilafan tersebut, dan bagi pihak semua kakitangan Sin Chew Daily kami menyusun sepuluh jari memohon jutaan kemaafan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share