
KUALA LUMPUR, 29 Okt 25 — Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin menafikan Perikatan Nasional (PN) mempertikaikan tugas kakitangan awam membabitkan isu kandungan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang mereka bangkitkan.
Ahli Parlimen Larut itu sebaliknya mempersoalkan menteri bertanggungjawab kerana menurutnya banyak kelompongan dalam perjanjian itu yang memihak kepada AS berbanding Malaysia.
“Kita bukan persoal pegawai kerajaan. Bila runding, AS keluar tuntutan dia bawa kepada menteri.
“Saya pernah jadi menteri, di sini ramai bekas menteri. Pasal apa pula bila kita tanya benda ini dia nak marah seolah-olah kita tekan penjawat awam. Ini tidak ada kena mengena dengan penjawat awam,” tegas Hamzah, ketika sidang media di Parlimen, hari ini.
Jelas Timbalan Presiden Bersatu itu, penjawat awam hanya menjalankan tugas mereka mengikut kerajaan yang memerintah.
“Penjawat awam mereka khidmat kerajaan yang ada hari ini. Kita faham. Dia pernah juga berkhidmat dengan kita. Kita persoal perjanjian.
“Kita tak persoal pegawai kerajaan. Kita persoal kamu sebagai menteri yang bersetuju artikel kita bentangkan ini
“Tak payah ajar, tak payah cerita. Saya pernah ke luar negara 8 hari 7 negara bertemu pemimpin berbincang, itu biasa. Kita tahu mereka bekerja,” jelas Hamzah.
Tegasnya, adalah menjadi tugas wakil rakyat pembangkang untuk proses semak dan imbang kerajaan apabila membangkitkan perkara tersebut.
” Nak persoal kami bangkit isu ini apanya…itulah tugas ahli Parlimen. Semak dan imbang,” tegas Hamzah lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.