
KUALA LUMPUR, 10 DIS 25,– Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan polis kerana didakwa tidak mengambil sebarang tindakan berhubung laporan terhadap perjanjian timbal balik (ART) antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia.
Negarawan itu mendakwa, sedangkan pihak berkuasa itu sebelum ini mengambil tindakan terhadap laporan polis yang dianggap remeh.
“Saya antara yang buat daripada ramai yang buat laporan. Banyak laporan remeh-temeh pun polis ambil tindakan dengan segera.
“Ini negara digadai belum ada reaksi daripada polis,” katanya, dalam rakaman video.
Beliau turut mengulangi dakwaan Malaysia menggadaikan kedaulatan dan kemerdekaan disebabkan perjanjian berkenaan.
“Kita adalah satu daripada negara yang dikuasai oleh AS dan kita tidak ada kebebasan lagi.
“Kita sudah jual kebebasan dan kemerdekaan negara kita. Ini bertentangan dengan Perlembagaan negara,” dakwa bekas perdana menteri dua kali itu.
Menurutnya, menandatangani perjanjian itu sendiri adalah menjadi satu kesalahan.
“Iaitu kesalahan dilakukan. Rakyat berhak mendakwa dan buat laporan polis,” kata Dr Mahathir. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.