Anwar Tidak Serius Perangi Rasuah, Dakwa Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 21 NOV 25 – Rakyat Sabah diingatkan supaya membuat keputusan tegas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 Nov ini dan tidak membiarkan diri mereka terpalit dengan sokongan kepada calon yang terbukti gagal menunjukkan integriti.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 18 Nov lalu sekali lagi mendedahkan sikap sambil lewa beliau dalam isu rasuah membabitkan lingkungan pentadbirannya sendiri.

“Bagaimana seorang perdana menteri boleh melaungkan perang terhadap rasuah, sedangkan isu yang membabitkan setiausaha politik kanan beliau hanya dijawab dengan teguran dalaman?

“Pejabat Perdana Menteri adalah jantung pentadbiran negara dan ia mesti menjadi contoh ketelusan, bukan melindungi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, lebih membimbangkan apabila corak perlindungan terhadap individu rapat dengan perdana menteri dan kerajaan PH-BN berulang.

“Apabila kes melibatkan pihak lawan, beliau begitu lantang dan agresif. Sikap memilih bulu ini bukan sahaja memalukan institusi perdana menteri, malah membenarkan rakyat anggap beliau sekadar beretorik,” tegasnya.

Tuan Ibrahim menyatakan bahawa jika Anwar benar-benar serius memerangi rasuah, beliau perlu berani membersihkan lingkungannya sendiri dengan mengarahkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara menyeluruh dan bukan hanya memberi amaran kepada pegawai kanan.

“Ketegasan tidak boleh bersifat selektif,” kata beliau.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak mendapatkan kepimpinan yang benar-benar jujur bukan janji kosong atau slogan semata-mata. Masa depan negeri ini terlalu berharga untuk diserahkan kepada parti yang gagal menjaga integriti sendiri.

“Sabah perlukan kepimpinan sebenar,  bukan retorik,” tambahnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share