ASEAN Didesak Tolak Pilihan Raya Palsu Junta Myanmar — Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR, 16 Okt 25 — Bekas Menteri Luar Malaysia, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah bersama tiga bekas pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa ASEAN supaya menolak sepenuhnya rancangan pilihan raya junta tentera Myanmar yang dijadualkan pada 28 Disember 2025, sambil menyifatkannya sebagai “penipuan terancang” yang hanya akan mengesahkan pemerintahan autoritarian.

Dalam kenyataan bersama dengan Marzuki Darusman, Yanghee Lee, dan Chris Sidoti, Saifuddin menegaskan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan ini adalah “peluang terakhir” bagi blok serantau itu memperbetulkan kegagalannya terhadap krisis Myanmar.

“Jika ASEAN tidak menolak pilihan raya palsu itu secara jelas, ia bukan sahaja mengkhianati rakyat Myanmar tetapi juga memberi ganjaran kepada kekejaman autoritarian di rantau ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut merujuk lawatan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, ke Myanmar pada 9 Oktober lalu, yang menetapkan penanda aras minimum bagi pilihan raya bebas dan adil. Namun, menurut Saifuddin dan kumpulan penasihat itu, syarat tersebut sudah jelas tidak dipenuhi oleh junta.

Mereka juga menempelak dakwaan junta bahawa Mohamad Hasan telah “berjanji menghantar pemerhati pilihan raya” sebagai “propaganda murahan untuk mencipta legitimasi palsu”.

Dalam kenyataan keras itu, kumpulan berkenaan menuduh ASEAN gagal melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang diusahakan sejak 2021, sekali gus membiarkan ribuan orang awam menjadi mangsa kekejaman tentera.

“ASEAN telah diperdaya, dihina dan kehilangan kredibiliti di mata rakyat Myanmar,” ujar kenyataan itu lagi.

Ia turut menyenaraikan insiden terbaru kekerasan junta termasuk pengeboman perhimpunan agama di Sagaing pada 6 Oktober yang mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang, serta serangan udara ke atas sekolah di Rakhine yang menyebabkan puluhan kanak-kanak terbunuh.

Kenyataan itu juga menggesa ASEAN melaksanakan pendekatan strategik baharu yang berpaksikan tiga tindakan utama:

Menolak sepenuhnya pilihan raya junta dan sebarang pengiktirafan terhadap hasilnya. Melaksanakan sekatan diplomatik menyeluruh termasuk melarang kehadiran semua wakil junta dalam sebarang peringkat mesyuarat ASEAN serta mewujudkan pelan hala tuju demokratik baharu dengan sokongan Malaysia dan Filipina bagi memulihkan demokrasi serta menjamin keselamatan rakyat Myanmar.

Antara langkah yang disyorkan ialah kerjasama erat dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan pertubuhan etnik bersenjata, pembentukan perlembagaan persekutuan baharu, serta penyiasatan jenayah perang melalui mahkamah antarabangsa.

Saifuddin dan kumpulan penasihat itu turut mencadangkan supaya tempoh Tan Sri Othman Hashim sebagai Utusan Khas ASEAN mengenai Myanmar dilanjutkan bagi menjamin kesinambungan diplomasi.

“Rakyat Myanmar berasa mereka telah ditinggalkan. Jika ASEAN mahu menebus kegagalannya, tindakan mesti diambil sekarang. Jika tidak, bagaimana ASEAN akan berdepan dengan rakyat Myanmar?” tegas kenyataan itu.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka berlangsung di Kuala Lumpur hujung bulan ini, dan isu Myanmar dijangka menjadi antara agenda utama perbincangan pemimpin serantau. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share