
KUALA LUMPUR | 1 Okt 26 – PAS menegaskan pendiriannya bahawa kepimpinan negara Malaysia hendaklah datang daripada kalangan Melayu Islam, selain menolak perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa didominasi DAP serta gagasan Malaysian Malaysia.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pendirian itu berasaskan kefahaman politik Islam yang meletakkan perpaduan umat Islam sebagai asas sebelum membina hubungan dengan masyarakat pelbagai bangsa.
Menurutnya, PAS berpegang kepada mazhab Sunni bahawa pemimpin bagi negara Malaysia hendaklah daripada kalangan Melayu Islam.
“PAS menolak perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang berpegang kepada prinsip sekular, iaitu memisahkan politik daripada agama, dan gagasan Malaysian Malaysia tanpa rupa bangsa,” katanya dalam tulisan terbaharu Minda Presiden PAS bertajuk Perpaduan Ummah Melayu Memimpin Malaysia.
Abdul Hadi berkata, PAS melihat politik tidak boleh dipisahkan daripada aqidah dan agama kerana kepimpinan perlu berpandukan al-Quran dan Sunnah, bukannya teori yang hanya bersandarkan akal manusia.
Beliau turut menegaskan pemimpin yang dipilih hendaklah daripada kalangan Melayu yang berpegang teguh kepada Islam serta mempunyai pengaruh kuat bagi menjamin keadilan kepada semua.
Menurutnya, kedudukan Melayu Islam sebagai kelompok yang mempunyai pengaruh politik terkuat menjadi asas kepada gagasan perpaduan yang dibawa PAS.
“PAS mendahulukan perpaduan Melayu Islam yang menjadi tonggak kuasa yang mempunyai pengaruh terkuat. Kemudian, bersama-sama manusia daripada pelbagai bangsa yang merupakan satu keluarga besar, yang berasal daripada Adam dan Hawwa’,” katanya.
Dalam tulisannya, Abdul Hadi turut mengaitkan gagasan tersebut dengan konsep keadilan terhadap seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
Beliau berkata pemimpin yang mendapat sokongan kuat daripada kaumnya tetap diwajibkan menegakkan keadilan apabila berkuasa, termasuk dalam pentadbiran sebuah negara masyarakat majmuk.
Pada masa sama, Abdul Hadi mendakwa wujud pentadbiran, kehakiman dan pendakwaan terpilih pada masa ini sehingga menyebabkan diskriminasi dalam politik, pentadbiran, ekonomi dan pendidikan.
Beliau turut menegaskan PAS mewajibkan al-Quran dan Sunnah dijadikan petunjuk dalam semua perkara, termasuk dalam soal kepimpinan dan pemerintahan.
Abdul Hadi berkata PAS juga menetapkan aqidah Islam dalam perlembagaannya serta berpandangan Islam merupakan agama tertinggi dalam perlembagaan negara.
Katanya, pemimpin yang dicalonkan PAS diwajibkan berbaiah dan bersumpah dengan nama Allah untuk mematuhi kewajipan tersebut sama ada ketika menjadi kerajaan mahupun pembangkang.
Dalam tulisan sama, Abdul Hadi mengaitkan gagasan perpaduan Melayu Islam dengan sejarah awal kepimpinan Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW, termasuk proses pemilihan khalifah dalam kalangan para sahabat.
Beliau berkata PAS melihat dirinya sebagai mata rantai kesinambungan perjuangan untuk melaksanakan petunjuk Allah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Pada masa sama, beliau menegaskan konsep keadilan tetap perlu merangkumi seluruh masyarakat majmuk, termasuk mereka yang berbeza bangsa dan agama. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.