
KUALA LUMPUR, 12 Sep 25 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyindir siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan beliau memiliki aset di United Kingdom (UK), sambil menuduh langkah itu bertujuan melengah-lengahkan kes saman beliau terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam kenyataan ringkasnya hari ini, Mahathir berkata beliau sendiri tidak tahu-menahu mengenai kewujudan aset di UK seperti yang disebut oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
“Rupa-rupanya saya ada harta di UK. Saya tak tahu. Tolong beritahu supaya saya boleh tuntut harta ini. Setelah dapat, saya akan hadiahkan kepada ramai yang miskin,” sindirnya.
Mahathir mendakwa siasatan SPRM itu adalah helah politik untuk melengahkan prosiding saman fitnah yang difailkan beliau terhadap Anwar pada 2023, selepas Anwar ketika berucap pada satu program rasmi mendakwa beliau mempunyai kekayaan luar biasa dan menyalahguna kedudukannya ketika menjadi perdana menteri.
“Sebenarnya saya fikir Datuk Seri Anwar suruh SPRM buat siasatan ini supaya melambatkan kes. Apabila saya saman dia, dia minta dua minggu untuk jawab saman saya. Sekarang sudah dua tahun. Masih tidak sanggup ke mahkamah. Masih hendak tangguh,” katanya.
Saman Mahathir terhadap Anwar difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14 Jun 2023, di mana beliau menuntut ganti rugi serta permohonan maaf terbuka daripada Perdana Menteri. Anwar bagaimanapun mempertahankan kenyataannya sebagai berlandaskan kepentingan awam dan menuntut saman tersebut ditolak.
Kes berkenaan masih berjalan dengan beberapa kali penangguhan, dan Mahathir mendakwa siasatan terbaru oleh SPRM dijadikan alasan tambahan untuk melanjutkan lagi proses mahkamah. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.