
SHAH ALAM | 5 Okt 26 – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) supaya tidak terpengaruh dengan agenda ‘kesamarataan’ sehingga menganggap keistimewaan orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak tidak lagi relevan.
Menurut Asyraf, mahasiswa UiTM mempunyai tanggungjawab untuk memahami dan mempertahankan kedudukan istimewa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 153.
Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak, justeru perkara itu tidak seharusnya diketepikan atas nama kesamarataan.
Asyraf turut mengingatkan bahawa Perlembagaan boleh dipinda dan mahasiswa perlu memahami kepentingan mempertahankan peruntukan tersebut, termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Perlembagaan boleh diubah dan kita kena pertahankan keistimewaan ini dan kedudukan Islam,” katanya ketika berucap pada satu seminar di UiTM pada Ahad.
Kenyataan itu dibuat ketika UiTM menjadi perhatian berhubung isu kelemahan tadbir urus institusi berkenaan. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Kadir pada program sama berkata kelemahan UiTM perlu diperbaiki dan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melemahkan institusi tersebut atau institusi Bumiputera lain.
Asyraf sebelum ini menegaskan bahawa keistimewaan tersebut bukan diwujudkan kerana orang Melayu dan Bumiputera tidak mampu bersaing, sebaliknya bertujuan mempercepatkan penyertaan mereka supaya persaingan dapat berlaku dalam keadaan lebih seimbang.
Justeru, seruan Asyraf kepada mahasiswa UiTM kini meletakkan persoalan lebih besar tentang bagaimana generasi muda memahami hubungan antara prinsip kesamarataan, kedudukan istimewa yang dijamin Perlembagaan dan fungsi institusi pendidikan Bumiputera. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.