
KUALA LUMPUR, 30 Mei 25 – Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob berkata, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki wajar membuat siasatan terbuka membuktikan beliau tidak menggunakan dana agensi itu sewenangnya.
Beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan Asyraf mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara(PAC) Datuk Mas Ermieyati meminta beliau membentangkan kewangan Mara atau perbelanjaan Mara yang meragukan.
“Sebagai seorang yang kononnya sering melaungkan perlunya ketelusan, amanah dan kecekapan pentadbiran kepada staf-staf dan pengurusan MARA, sepatutnya Asyraf Wajdi berani membuktikan kata-katanya.
“Beliau boleh memanggil siasatan terbuka atau meminta bukti dakwaan tersebut dan seumpamanya kepada Mas Emieryati,” katanya, dalam satu kenyataan
Mas Ermieyati katanya hanya menegur tentang cara dan tindakan Asyraf yang dilihat tidak kompeten dalam menguruskan beberapa perkara sehingga mungkin menjejaskan peruntukan pendidikan pelajar Mara dan mungkin kewangan MARA itu sendiri.
“Apatah lagi beliau selaku pengerusi MARA (jawatan bukan eksekutif) dilihat banyak mencampuri urusan eksekutif dan perbelanjaan pelbagai program (kecil atau mega) anjuran Mara,” kata Fathul.
Beliau turut menyindir Asyraf kerana sering dilihat menganjurkan aktiviti di Gerik berikutan tewas ketika PRU15 lalu dan ingin bertanding sekali lagi untuk PRU akan datang.
“Semua pihak tahu beliau selaku setiausaha agung Umno ingin bertanding sekali lagi di Parlimen Gerik pada pilihanraya akan datang. Persoalannya, adakah polisi MARA membenarkan perkara sebegini?
“Saya yakin, tidak semua lembaga pengarah atau pengurusan MARA bersetuju hanya Gerik menjadi tumpuan kerana MARA menguruskan ekonomi, kebajikan dan pendidikan Bumiputera seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Malah, sehingga kini ramai juga yang bertanya, adakah beliau pengerusi MARA cawangan Gerik?,” katanya.
Katanya, isu itu tidak wajar di bawa ke mahkamah kerana ia akan menelan kos perbelanjaan menggunakan dana MARA.
“Janganlah lagi hendak gunakan wang dana awam untuk kos guaman bagi menjawab tuduhan atau mengugut pihak lawan.
“Dana awam adalah ‘wang rakyat’ yang sepatutnya digunakan untuk pelbagai perkara berfaedah seperti menambah lagi bilangan pelajar tajaan MARA, atau pemberian biasiswa atau bantuan kepada golongan Bumiputera yang memerlukan,” tambah Fathul lagi. @politiko.my