
KUALA LUMPUR, 4 Sep 25 – Ketua Bahagian Bersatu Pengerang, Mohd Faisal Asmar, mengingatkan pemimpin politik tanah air agar belajar daripada krisis politik yang sedang melanda Indonesia, di mana protes rakyat tercetus akibat pemimpin yang hanya mementingkan kedudukan tanpa menyelami kehendak akar umbi.
Menurut beliau, pemimpin di Malaysia khususnya dalam Bersatu mesti meletakkan kepentingan rakyat mengatasi cita-cita peribadi jika mahu parti terus dihormati.
“Apabila pemimpin hanya dilihat memperkukuh jawatan mereka, akar umbi tidak akan teragak-agak memprotes dan menolak,” tegas Faisal dalam satu kenyataan media hari ini.
Menjelang Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Shah Alam pada 6-7 September, Faisal menyuarakan kebimbangannya terhadap cubaan segelintir individu yang mahu mengalihkan tumpuan parti kepada isu perebutan jawatan, termasuk cadangan mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Beliau tidak menolak bahawa usul itu berniat baik, namun menegaskan bahawa masanya tidak sesuai kerana tumpuan utama seharusnya diberikan kepada isu dasar dan kebajikan rakyat.
“Isu calon Perdana Menteri hanya wajar dijawab oleh Perikatan Nasional apabila PRU16 sudah hampir, bukan sekarang. Jika diteruskan juga, ia hanya akan memberi gambaran bahawa pimpinan tertinggi parti sudah terpisah daripada agenda rakyat,” katanya.
Faisal turut menekankan bahawa ketua bahagian merupakan “tiang utuh” yang telah lama berkorban demi kelangsungan parti dan tidak boleh dipinggirkan.
Beliau juga memberi amaran bahawa kegagalan pemimpin memahami sentimen akar umbi hanya akan mengundang risiko Bersatu ditolak rakyat, sama seperti yang berlaku kepada pemimpin-pemimpin di Indonesia. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.