Audit Dedah Pahang Berdepan Defisit RM128 Juta Pada 2024

KUALA LUMPUR, 12 DIS 25 —  Laporan Ketua Audit Negara 03/2025 mendedahkan Pahang mencatat defisit RM128.17 juta pada 2024, jauh berbeza daripada unjuran lebihan RM12 juta yang dibentangkan kerajaan negeri, kata Adun Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan presiden PAS itu berkata dapatan audit itu menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan kerajaan negeri mengurus hasil serta mengembangkan sumber pendapatan baharu.

“Walaupun kerajaan negeri mengunjurkan lebihan RM12 juta bagi 2024, hakikatnya ia berakhir dengan defisit RM128.17 juta,” tegasnya, dalam hantaran Facebook.

Beliau turut memaklumkan bahawa hutang awam negeri kini meningkat semula kepada RM1 bilion, sekali gus menambah risiko tekanan fiskal.

“Hasil Pahang kini hampir mendatar dan terlalu tertumpu pada sumber yang sama setiap tahun. Apabila hasil tidak berkembang, risiko defisit akan terus berulang,” katanya.

Menurutnya, pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang juga komited menjalankan peranan semak dan imbang dengan menegur serta mencadang langkah penambahbaikan bagi memastikan kedudukan kewangan negeri kekal mampan.

“Kami tidak menolak usaha kerajaan membangunkan Pahang.

“Teguran ini demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri, bukan sekadar angka anggun dalam pembentangan belanjawan,” ujarnya.

Beliau menggesa kerajaan negeri meneliti laporan audit dengan jujur dan memperkukuh strategi pendapatan baharu agar Pahang tidak terus bergantung kepada sumber yang semakin tepu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share