Pakar Saran Cabar Di Mahkamah Jika Benar UEC Tidak Canggah Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 15 DIS 25 — Desakan agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf yang berlarutan hampir lima dekad perlu diuji mahkamah sekiranya benar ia tidak bercanggahan Perlembagaan, kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad.

Beliau berkata kerajaan telah berulang kali menyatakan pendirian menolak pengiktirafan UEC, termasuk penegasan Menteri Pendidikan di Parlimen pada 2023 tiada rancangan untuk mengiktiraf sijil tersebut.

Namun menurutnya, kenyataan rasmi kerajaan seolah-olah tidak dihormati apabila tekanan politik terus digerakkan, termasuk usaha mendapatkan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Minggu ini, sebelum sebarang pertemuan rasmi berlangsung, Perdana Menteri sendiri telah menolak desakan itu secara jelas dan terbuka,” katanya dalam satu kenyataan.

Anuar mempersoalkan hujah pihak tertentu yang mendakwa pengiktirafan UEC tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, sedangkan dakwaan itu tidak pernah diuji melalui proses kehakiman.

“Jika benar UEC tidak bercanggah dengan Perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996, mengapa isu ini tidak dibawa ke mahkamah untuk diputuskan secara muktamad?” soalnya.

Beliau menegaskan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang menuntut sebarang pertikaian perlembagaan diselesaikan melalui institusi kehakiman, bukan tekanan politik atau kempen awam.

“Mahkamah adalah medan yang sah untuk menentukan sama ada sesuatu tuntutan selari atau bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya.

Menurut Anuar, kegagalan membawa isu itu ke mahkamah selepas hampir 50 tahun menimbulkan keraguan terhadap kekuatan hujah yang sering diulang sejak 1975.

“Desakan berterusan tanpa keberanian menguji hujah di mahkamah menimbulkan persoalan sama ada ia digerakkan atas kepentingan pendidikan atau agenda politik,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa pengiktirafan UEC berpotensi melemahkan sistem pendidikan kebangsaan yang berteraskan kurikulum nasional dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

“Malaysia sudah mempunyai sistem pendidikan pelbagai aliran yang diikat oleh kurikulum kebangsaan. Mengiktiraf sistem berasingan akan meretakkan asas perpaduan nasional,” ujarnya.

Tegasnya, pendidikan tidak seharusnya dijadikan alat tekanan politik atau sentimen perkauman kerana kesannya bersifat jangka panjang terhadap pembinaan negara.

“Perpaduan negara tidak dibina melalui paksaan politik, tetapi melalui pendidikan yang menyatukan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share