
KAJANG | 23 Feb 26 — Seramai 16 Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Bangi mengumumkan peletakan jawatan secara beramai-ramai berkuat kuasa serta-merta dalam satu kenyataan media bertarikh 21 Februari 2026.
Kenyataan itu ditandatangani Setiausaha Bahagian, Bakhtiar Mohd Annuar bersama barisan kepimpinan bahagian termasuk Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua Bersekutu, Ketua Armada, Bendahari, Ketua Penerangan serta beberapa Ahli Jawatankuasa dan Ketua Cawangan.
Dalam kenyataan tersebut, mereka memaklumkan keputusan itu dibuat selepas pertimbangan mendalam terhadap perkembangan semasa parti serta hilangnya keyakinan terhadap kredibiliti dan kepimpinan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Menurut mereka, kepimpinan yang kukuh, berintegriti dan diyakini akar umbi amat penting bagi memastikan perjuangan parti terus relevan serta diyakini rakyat.
Sehubungan itu, kumpulan tersebut mengisytiharkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, yang disifatkan sebagai pemimpin berupaya membawa pembaharuan, memperkukuh organisasi serta mengembalikan keyakinan ahli dan penyokong terhadap hala tuju parti.
Mereka menegaskan pendirian tersebut dibuat demi kepentingan perjuangan, kestabilan organisasi dan masa depan parti secara keseluruhan, sambil menyatakan komitmen untuk terus berkhidmat kepada masyarakat serta mempertahankan prinsip perjuangan yang diyakini.
Perkembangan ini menambah tekanan terhadap kepimpinan pusat Bersatu ketika parti itu berdepan gelombang perletakan jawatan di beberapa bahagian lain sejak kebelakangan ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.