
KUALA LUMPUR | 24 Feb 26 – Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia terus bergolak apabila keseluruhan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Cheras mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat bertarikh 19 Februari 2026 yang ditujukan kepada Setiausaha Agung parti, Mohamed Azmin Ali.
Dalam surat berkenaan, AJK Bahagian Cheras menyatakan mereka mengambil keputusan tersebut selepas hilang keyakinan terhadap beberapa tindakan kepimpinan parti, khususnya melibatkan pemecatan wakil rakyat dan ketua bahagian yang disifatkan dibuat secara tergesa-gesa.
Mereka turut membantah sebarang tindakan yang didakwa melanggar ketetapan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 12 Januari 2026, yang memutuskan supaya tindakan disiplin terhadap ahli berkaitan kenyataan mengenai Presiden Pengasas Bersatu, Muhyiddin Yassin, ditangguhkan bagi kenyataan sebelum tarikh tersebut.
“Dengan ini kami memaklumkan keputusan untuk keluar parti dan meletakkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan itu.
Surat berkenaan ditandatangani Ketua Bahagian Bersatu Cheras, Mohamad Aziq Md Aris, bersama 18 lagi ahli jawatankuasa termasuk ketua-ketua sayap dan cawangan.
Antara yang meletakkan jawatan ialah Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua Srikandi, Ketua Armada, Ketua Penerangan, Setiausaha serta Bendahari bahagian, selain beberapa ahli jawatankuasa dari cawangan Jalan Cheras, Jalan Loke Yew, Jalan San Peng dan Taman Segar.
Ekoran peletakan jawatan secara beramai-ramai itu, Jawatankuasa Bersatu Bahagian Cheras disahkan terbubar secara automatik.
Perkembangan terbaharu ini dilihat menambah tekanan terhadap kepimpinan pusat Bersatu ketika parti berdepan siri pergolakan dalaman yang semakin terbuka. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.