
SUBANG | 21 Feb 26 — Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terus memuncak apabila keseluruhan Jawatankuasa Bahagian Subang, sealam mengumumkan peletakan jawatan secara kolektif, sekali gus menamatkan keahlian parti berkuat kuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan media, barisan kepimpinan bahagian itu menegaskan masa depan sesebuah wadah politik tidak seharusnya bergantung kepada survival kelompok kecil, sebaliknya mesti berpaksikan mandat rakyat dan aspirasi akar umbi.
Menurut kenyataan tersebut, keputusan berkenaan dibuat atas dasar prinsip yang tidak boleh dikompromi selepas mendapati hala tuju serta beberapa keputusan pimpinan tertinggi parti didakwa tidak lagi selari dengan mandat dan kehendak ahli di peringkat akar umbi.
“Apabila visi perjuangan asal mula terhakis, integriti menuntut kami untuk mengundur diri secara terhormat,” menurut kenyataan itu.
Seiring peletakan jawatan tersebut, Jawatankuasa BERSATU Bahagian Subang turut mengumumkan pembubaran bahagian berkenaan serta seluruh jawatankuasa di peringkat cawangan di bawah seliaannya, berkuat kuasa serta-merta.
Antara pimpinan yang melepaskan jawatan termasuk Ketua Bahagian merangkap Ketua Cawangan SS18, Asyraf Halim; Timbalan Ketua Bahagian, Mohd Shahril Hashim; Naib Ketua Bahagian, Iskandar Al Quyyum; Setiausaha, Wan Ahmad Shukrie; Bendahari, Adleezan Bin Pakhalan; serta beberapa ketua sayap dan ahli jawatankuasa lain.
Dalam perkembangan yang sama, BERSATU Bahagian Pasir Salak turut mengumumkan pembubaran bahagian tersebut apabila 18 daripada 21 AJK pimpinan bahagian mengumumkan peletakan jawatan secara kolektif.
Perkara tersebut diumumkan selepas mesyuarat khas bahagian dimana keputusan sebulat suara untuk meletakkan jawatan mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Presiden parti serta mengambil tindakan keluar parti secara beramai-ramai.
Perkembangan terbaharu ini dijangka memberi kesan terhadap kekuatan organisasi BERSATU di Parlimen Subang dan Perak, ketika parti itu berdepan beberapa siri pergolakan dalaman sejak kebelakangan ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.