MCA Ingatkan PH: Hormati ‘Rule Of Law’

KUALA LUMPUR | 10 Sep 26 – MCA mengingatkan Pakatan Harapan (PH) supaya menghormati prinsip Rule of Law secara konsisten susulan pendirian gabungan itu berhubung isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Penerangan Pemuda MCA merangkap Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional, Neow Choo Seong berkata, prinsip kedaulatan undang-undang tidak seharusnya digunakan secara selektif atau hanya apabila ia menguntungkan sesuatu naratif politik.

Menurutnya, jika PH benar-benar berpegang kepada prinsip reformasi dan Rule of Law, perkara sama perlu dihormati dalam semua keadaan termasuk Perlembagaan Persekutuan serta prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

“Jangan bercakap tentang kedaulatan undang-undang hanya apabila ia melibatkan pihak lain. Sebaliknya kedaulatan undang-undang mesti dihormati dalam semua keadaan, termasuk menghormati Perlembagaan Persekutuan dan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan media.

Neow berkata, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan, manakala Lembaga Pengampunan pula merupakan sebahagian daripada kerangka perlembagaan tersebut.

“Janganlah hari ini PH bercakap tentang prinsip dan institusi, tetapi pada masa yang sama cuba mempersoalkan atau membataskan prerogatif institusi yang sama,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu juga menimbulkan persoalan apabila Perdana Menteri sendiri sebelum ini menjelaskan bahawa urusan pengampunan di bawah Perkara 42 mempunyai kedudukan tersendiri dalam Perlembagaan.

“Maka persoalannya kepada PH: mengapa prinsip yang pernah dijelaskan sendiri oleh pimpinan kerajaan kini cuba dilihat secara selektif?” katanya.

Dalam pada itu, Neow mengingatkan bahawa Perdana Menteri merupakan anggota Lembaga Pengampunan, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.

“PH tidak boleh mengambil pendirian seolah-olah mereka berada di luar daripada proses dan institusi yang mereka sendiri sebahagian daripadanya,” katanya.

Neow menegaskan MCA tidak mempertikaikan hak mahkamah untuk menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana pihak, namun apabila Perlembagaan turut menyediakan ruang pengampunan, ruang tersebut juga perlu dihormati.

Katanya, Rule of Law tidak boleh hanya dilihat dari sudut pendakwaan dan hukuman sehingga mengetepikan peruntukan Perlembagaan mengenai kuasa pengampunan.

Beliau turut mengingatkan supaya perjuangan membanteras rasuah tidak dijadikan senjata politik, sebaliknya standard yang sama mesti dikenakan kepada semua pihak tanpa mengira kerajaan atau pembangkang, rakan atau lawan politik.

“Reformasi bukan hak eksklusif PH. Perjuangan menentang rasuah bukan monopoli mana-mana parti. Manakala kedaulatan undang-undang bukan slogan yang boleh diubah mengikut kepentingan politik,” katanya.

Neow berkata MCA dan Barisan Nasional akan terus menyokong usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan, namun pada masa sama mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu dan prinsip keadilan yang terpakai kepada semua.

“Kalau PH benar-benar mahu bercakap tentang prinsip, maka amalkan prinsip itu secara konsisten.

“Reformasi bukan slogan. Kedaulatan undang-undang bukan alat politik. Prinsip tidak boleh berubah mengikut siapa yang berkuasa,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share