Bahasa Kebangsaan Bukan Menindas Bahasa Lain

Oleh : Azman Hashim

Merujuk kepada satu laporan oleh Politiko.my bertarikh 11 Mei 2025, Ketua Bahagian BERSATU Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin — atau lebih dikenali sebagai CheguBard — telah membangkitkan isu penggunaan tulisan dalam bahasa Mandarin pada papan tanda di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Port Dickson, tanpa mendahulukan Bahasa Kebangsaan.

Beliau menyatakan bahawa tindakan meletakkan papan tanda dalam tulisan asing tanpa keutamaan kepada Bahasa Kebangsaan adalah sesuatu yang menyentuh sensitiviti rakyat, selain bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta titah Raja-Raja Melayu.

Isu ini bukan perkara baharu. Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menegur kewujudan terlalu banyak papan tanda perniagaan dan promosi di ibu kota yang hanya menggunakan tulisan Cina, tanpa satu pun perkataan dalam Bahasa Kebangsaan.

Malah, terdapat kawasan di tengah-tengah Kuala Lumpur yang kelihatan seolah-olah bukan lagi di Malaysia, tetapi seakan-akan berada di sebuah bandar di negara China.

Saya sendiri pernah berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mendapatkan kelulusan kain rentang di hadapan pejabat kami bagi tujuan promosi syarikat. Kami juga pernah memohon untuk memasang papan tanda perniagaan.

Salah satu syarat yang dikenakan ialah mendapatkan pengesahan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memastikan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul, sebelum DBKL meluluskan permohonan.

Namun timbul persoalan: Jika papan tanda atau kain rentang itu mengandungi tulisan dalam bahasa Cina, kelulusan daripada agensi kerajaan yang mana pula diperlukan? Bukan semua tulisan dalam bahasa Cina membawa maksud yang selari dengan terjemahan Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Inggeris.

Maka, timbul kebimbangan — apakah implikasinya terhadap kaum lain yang tidak memahami tulisan tersebut? Apakah wujud mesej tersembunyi yang hanya difahami oleh satu kaum sahaja?

Sebagai contoh, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Kwo di Jalan Loke Yew dan SJKC Chung Kwok di Jalan Raja Laut — walaupun ejaan Rumi berbeza, tulisan Mandarin bagi kedua-dua nama sekolah ini membawa maksud “Negara Cina” atau “China”.

Kedua-dua sekolah ini berdiri megah di tengah ibu kota negara. Sudah tentu pelancong dari China atau masyarakat Cina tempatan akan berasa bangga melihat kewujudan sekolah yang dinamakan sempena negara asal mereka.

Walaupun kita sedar bahawa sekolah-sekolah ini ditubuhkan sebelum kemerdekaan, sewajarnya nama sekolah tersebut disesuaikan agar melambangkan identiti Malaysia. Misalnya, ia boleh dinamakan sempena tempat, tokoh tempatan, atau pemimpin Cina berwarganegara Malaysia.

Kita semua berhak mempertahankan bahasa ibunda masing-masing, namun dalam konteks kenegaraan, kita perlu bersatu di bawah satu bahasa bersama.

Malaysia adalah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama. Dalam kepelbagaian ini, Bahasa Melayu menjadi bahasa penyatu — merentas kaum, wilayah dan latar sosial.

Di sekolah, institusi kerajaan dan media, penggunaan Bahasa Kebangsaan mewujudkan ruang bersama yang membentuk rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat.

Bahasa Kebangsaan turut melambangkan kedaulatan negara. Jika setiap kaum mahu mengutamakan bahasa ibunda masing-masing — orang Cina dengan bahasa Cina, orang India dengan bahasa Tamil — maka identiti nasional akan menjadi longgar dan terpecah.

Bahasa Melayu telah menjadi lingua franca sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan bermakna kita mengangkat warisan, sejarah dan pemikiran bangsa yang telah terbina sejak ratusan tahun.

Ia juga menjadi lambang perjuangan kemerdekaan, apabila Bahasa Melayu dimaktubkan dalam Perlembagaan sebagai bahasa rasmi negara.

Kita tidak menolak kepentingan bahasa ibunda bagi setiap kaum, namun dalam ruang awam yang melibatkan kepentingan nasional, penggunaan Bahasa Kebangsaan perlu diberi keutamaan. Papan tanda, iklan, nama sekolah dan urusan rasmi mencerminkan identiti negara — bukan identiti kaum.

Kita bukan menuntut penghapusan bahasa lain, tetapi kita menyeru supaya Bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa utama, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan dan semangat Rukun Negara yang menyatukan.

Bahasa Kebangsaan bukan sekadar satu bahasa — ia perlu diberi penghormatan tertinggi sebagai simbol perjuangan, penyatuan dan kedaulatan negara. Dalam membina identiti nasional yang kukuh dan inklusif, Bahasa Melayu wajar diletakkan di tempat teratas — bukan untuk menindas bahasa lain, tetapi sebagai asas semangat kenegaraan yang menyatukan semua rakyat Malaysia.

Azman Mohd Hashim – Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share