Bahasa Melayu Patut Diangkat Sebagai Dokumen Perlembagaan Yang Sah

KUALA LUMPUR, 7 Sep 25 – Bahasa Melayu berisiko terus terpinggir sebagai bahasa negara sekiranya versi terjemahan Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan tidak segera diiktiraf sebagai naskhah rasmi yang sah.

Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Etnik Kebangsaan (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menekankan pentingnya pengiktirafan ini kerana bahasa Melayu bukan sekadar lambang kebangsaan tetapi juga bahasa rasmi dalam sistem kenegaraan.

“Bahasa Melayu bukan hanya simbol negara. Bahasa Melayu perlu diberikan peranan yang sewajarnya sebagai bahasa rasmi kerana telah terbukti mampu mengungkapkan pelbagai bidang ilmu, termasuk bidang perundangan,” tegas beliau memetik laporan Dewan Bahasa.

Menurut Dr. Teo, meskipun Perkara 160(B) Perlembagaan Persekutuan membenarkan versi bahasa Melayu dijadikan naskhah yang sah, pelaksanaannya masih belum dilaksanakan disebabkan oleh kebimbangan dan tentangan dari aspek perundangan. Beliau menyatakan bahawa sejak tahun 1972, terjemahan rasmi bahasa Melayu telah sedia wujud, dan Jabatan Peguam Negara telah mencadangkan agar ia diiktiraf namun, sehingga hari ini, cadangan tersebut masih belum diteruskan.

Situasi ini menurutnya, bukan hanya melemahkan kedudukan bahasa Melayu, malah turut menjejaskan identiti nasional serta budaya negara.

“Perlembagaan ialah asas kepada sesebuah negara dan asas itu sepatutnya berdiri teguh atas bahasa negara sendiri,”

Dr. Teo menyatakan bahawa pengiktirafan Perlembagaan berbahasa Melayu akan mengukuhkan institusi bahasa sebagai tiang utama negara Melayu-Islam serta mencerminkan warisan dan aspirasi bangsa. Bahasa Melayu juga berperanan dalam memupuk semangat kekitaan antara pelbagai etnik dan agama di Malaysia

“Bahasa Melayu hari ini memiliki korpus yang mantap, sistem sebutan dan ejaan yang seragam, kaedah pembentukan kata dan ayat yang jelas, serta haluan wacana yang tersusun.

”Justeru, tidak wajar ada keraguan tentang keupayaannya, termasuk dalam bidang undang-undang. Tambah beliau. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share