
KUALA LUMPUR | 23 Feb 26 — Bekas tokoh Maal Hijrah dan figura penting dalam kewangan Islam, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar, menghadapi pertuduhan bersubahat menjalankan perniagaan saham tanpa lesen di Mahkamah Sesyen di ibu negara pada Isnin.
Menurut laporan FMT, Daud Bakar, 62, yang pernah memegang jawatan tinggi dalam komuniti kewangan Islam, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di mahkamah hari ini.
Pertuduhan itu melibatkan dakwaan beliau bersekongkol dengan syarikat yang tidak berdaftar untuk melaksanakan urusniaga sekuriti, suatu aktiviti yang dikawal ketat di bawah undang-undang pasaran modal negara.
Beliau didakwa dibawah Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan jika sabit kesalahan, beliau berdepan denda sehingga RM10 juta, penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut diperintahkan menyerahkan pasport dan melapor diri kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebulan sekali sehingga kes selesai.
Kes ini merupakan sebahagian daripada tindakan berterusan pihak berkuasa terhadap aktiviti kewangan yang dijalankan tanpa lesen, menunjukkan penguatkuasaan peraturan pasaran modal terus diperketatkan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.