
PARLIMEN | 28 Jan 26 – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, semalam menuntut ketelusan penuh daripada kerajaan dalam urusan pengambilalihan Sunway Berhad terhadap IJM Corporation yang sedang menjadi tumpuan pasaran dan wacana nasional.
Semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, mantan Ketua Armada BERSATU ini, mempersoalkan mengapa hanya Sunway ditawarkan dalam urus niaga berkenaan dan timbul persoalan sama ada rundingan itu dibuat secara tertutup.
“Di mana pemain-pemain lain, di mana ‘open market process’? Adakah ini rundingan tertutup? Adakah ini rundingan siap pakej atau lebih tepat siapa orangnya? Soalnya sambil menegaskan kesan kepada kepentingan ekuiti Bumiputera sekiranya transaksi diteruskan tanpa penjelasan awam yang jelas.
Sebagai rekod, transaksi itu ialah tawaran pengambilalihan sukarela bernilai kira-kira RM11 bilion oleh Sunway ke atas IJM, yang kini juga berdepan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pengubahan wang tidak sah sekitar RM2.5 bilion — faktor yang turut menyemarakkan persoalan awam mengenai risiko dan struktur tawaran tersebut.
Beliau berkata sebagai dana amanah Bumiputera, proses pelaburan PNB sepatutnya jelas dan telus, termasuk penglibatan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti.
“Lebih membimbangkan bagaimana Permodalan Nasional Berhad (PNB) tahu lebih awal. Siapa yang berunding bagi pihak PNB? Adakah PNB sendiri hadir dalam rundingan bersama Sunway? Atau PNB hanya diminta datang kemudian untuk menghalalkan, katanya.
Isu ini mencetuskan perdebatan lebih luas tentang bagaimana kerajaan memantau urus niaga besar korporat yang melibatkan aset strategik, dana awam dan keseimbangan ekonomi kaum — terutama apabila kewajipan ketelusan, akauntabiliti dan kepentingan nasional dipertaruhkan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.