
KUALA LUMPUR | 31 Jan 26 — Seorang mantan pegawai kanan Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil memberi nasihat terbuka agar Presiden BERSATU itu berundur, dengan menyifatkan kepimpinannya tidak lagi dihargai dan kini dianggap sebagai liabiliti oleh rakan-rakan sendiri dalam Perikatan Nasional (PN).
Dr Marzuki Mohamed, yang pernah menjadi Setiausaha Sulit Muhyiddin, berkata tiada guna meneruskan kepimpinan apabila tekanan berlapis datang bukan sahaja dari luar, malah daripada dalam parti dan sekutu politik sendiri.
“Kalau saya boleh menasihati Tan Sri Muhyiddin, exitlah,” kata beliau dalam satu kenyataan panjang yang mengupas krisis dalaman PN dan BERSATU.
Menurut Dr Marzuki, Muhyiddin kini berdepan serangan berterusan dari dalam BERSATU sendiri, keadaan itu, katanya, diperburuk dengan sikap rakan sekutu yang semakin terbuka mempersoalkan kedudukan Muhyiddin sebagai peneraju gabungan.
Beliau turut menggambarkan Muhyiddin sebagai manusia biasa yang tidak kebal daripada kelemahan, dan tidak wajar terus dipertahankan apabila rakan-rakan politik sendiri tidak lagi menunjukkan kesetiaan atau kepercayaan.
“Tiada guna memimpin sekelompok manusia yang tidak tahu menilai kepimpinan anda. Malah mereka menganggap anda adalah liabiliti terbesar mereka,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Dr Marzuki turut menyentuh ketegangan berpanjangan dalam PN yang menurutnya tidak akan reda selagi isu kepimpinan tertinggi tidak diselesaikan secara tuntas.
Beliau berpandangan, sebahagian pihak dalam PN percaya masalah gabungan itu akan selesai hanya apabila Muhyiddin berundur daripada peranan utamanya.
Mengulas implikasi lebih luas, Dr Marzuki berpandangan pengunduran Muhyiddin akan membawa kesan besar kepada landskap politik negara, termasuk kemungkinan perubahan hala tuju BERSATU dan PN menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Namun, beliau menegaskan nasihat tersebut bukan bertujuan menjatuhkan, sebaliknya sebagai jalan keluar bermaruah buat seorang tokoh yang pernah berada di puncak kuasa.
“Diminta berambus, beliau berambus. Itu bukan soal kalah atau menang, tetapi soal menilai realiti politik,” katanya.
Dr Marzuki mengakhiri kenyataannya dengan mendoakan agar semua pihak yang kini mendesak perubahan kepimpinan diberikan ruang untuk membuktikan keupayaan masing-masing, sambil menegaskan bahawa sejarah akhirnya akan menilai siapa yang benar dan siapa yang tersilap langkah.
Desakan terhadap Muhyiddin agar berundur semakin kuat khususnya dari kalangan kepimpinan akar umbi yang menyaksikan ramai Ahli Parlimen dan ketuaketua bahagian di pecat dan digantung. Desakan pengunduran inijelas terarah kepada kelemahan Muhyiddin dalam kepimpinan parti dan hala tuju Perikatan Nasional.
Sebelum ini, Muhyiddin dikatakan pernah mengumumkan hasrat untuk berundur, namun membatalkan niat tersebut dan rentetan daripada itu, krisis politik dalaman BERSATU semakin melebar. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.