Subsidi Telur Dihentikan: Beban Rakyat, Lega Kerajaan?

Kerajaan mengumumkan bahawa subsidi telur ayam akan dihentikan sepenuhnya bermula 1 Ogos 2025. Langkah ini dikatakan wajar berikutan kos pengeluaran telur yang semakin stabil serta bekalan yang mencukupi. Namun, persoalan paling asas masih belum dijawab: mengapa beban fiskal kerajaan terus dipindahkan kepada rakyat biasa?

Menteri mengutarakan pelbagai alasan: subsidi tidak bersasar, industri ayam sudah pulih, dan kerajaan tidak mampu terus menanggung perbelanjaan besar. Ya, dari sudut buku akaun negara, ia kelihatan logik. Tapi dari sudut dapur rakyat, inilah satu lagi contoh pemotongan perlindungan sosial atas nama ‘rasionalisasi’.

Kerajaan seolah-olah terlupa bahawa rakyat tidak hidup dengan angka—mereka hidup dengan realiti gaji naik sekali dengan harga barangan pun mencanak naik, maka kos sara hidup yang semakin menekan.

Siapa yang paling terasa? Sudah tentu golongan B40 dan M40 bawah yang semakin dihimpit. Dalam sebuah negara yang kononnya menuju ke arah negara maju, menghapuskan subsidi keperluan asas seperti telur adalah satu langkah regresif.

Telur bukan barangan mewah. Ia asas dalam makanan harian. Dengan kenaikan walau RM0.10 sebiji, isi rumah yang membeli satu tray seminggu akan menanggung beban tambahan berpuluh ringgit sebulan. Adakah ini harga yang wajar untuk rakyat bayar, semata-mata kerana kerajaan mahu “seimbangkan bajet”?

Kerajaan sering melaung-laungkan slogan “MADANI”, kononnya kerajaan yang peduli dan inklusif. Namun, tindakan ini membuktikan sebaliknya. Bantuan bersasar yang diwar-warkan seperti Jualan Rahmah dan telur gred khas mungkin tampak indah atas kertas, tetapi sejauh mana ia benar-benar sampai ke kawasan pedalaman, ke kampung-kampung, ke flat kos rendah?

Jika mekanisme perlaksanaan tidak efisien, rakyat hanya dapat satu benda: harga naik, bantuan ghaib.

Kritikan ini bukan sekadar tentang telur. Ia adalah simptom kepada masalah yang lebih besar: kerajaan yang lebih cenderung menjaga keyakinan pelabur berbanding keperluan rakyat.

Adakah wajar berjimat pada subsidi telur—yang nilai peruntukannya lebih kecil berbanding ketirisan dan pembaziran projek mega? Mengapa bukan pemotongan ke atas elaun menteri, kontrak kerajaan tidak telus, atau penyusunan semula keutamaan bajet?

Langkah menghentikan subsidi telur menunjukkan bahawa kerajaan lebih berminat menyejukkan akaun perbendaharaan daripada menyejukkan keresahan rakyat.Dalam keadaan ekonomi masih tidak menentu, penghapusan subsidi bukan hanya soal fiskal, ia soal moral.

Kerajaan mesti sedar: rakyat sudah letih menjadi mangsa kepada keputusan yang dibuat dari atas menara kuasa. @analitiko

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share