Satu sudut perang Israel-Amerika terhadap Iran adalah angan-angan saki baki keluarga diraja Iran hendak kembali bertakhta.
Pada tahun 1970-an, rakyat Iran bangkit menentang Shah Mohammad Reza Pahlavi kerana dituduh boros, rasuah dan elitis. Setelah gagal patahkan pemberontak, pada tahun 1979 Shah Reza lari ke Amerika Syarikat. Sekarang anaknya, Reza Pahlavi, berangan-angan balik jadi raja.
Di United Kingdom, keluarga diraja bergolak kerana adik Raja Charles dituduh lakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur yang dibekalkan oleh pedofil Mendiang Jeffrey Epstein. Akibatnya, Putera Andrew dilucutkan gelaran diraja dan dinyahkan dari istana. Turut dikaitkan dengan Epstein adalah Puteri Mahkota Norway, Mette-Marit, manakala bekas Raja Sepanyol, Juan Carlos I, pula terpalit dengan skandal rasuah.
Jadi, cerita raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah ini bukanlah mitos atau khayalan. Ia adalah fakta sejarah.
Al Quran meletakkan syarat yang jelas ke atas seorang pemimpin. Dalam ayat 41 Surah Al-Hajj, Allah berfirman: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan ingatlah, bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
Jadi janganlah sekali-kali memperalatkan kuasa, amanah dan kehormatan jawatan. Rasullah SAW bersabda: “Tidaklah seseorang hamba yang Allah berikan kepercayaan untuk memimpin rakyat, kemudian dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya, melainkan Allah mengharamkan syurga baginya.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Banyak contoh dan cerita pemerintah kejam, tidak bermaruah, sakit jiwa malah gila. Banyak raja Eropah menjadi gila akibat jangkitan sipilis, khususnya dari abad ke-16 hingga 19. Antara mereka adalah Charles VIII (Perancis), Ivan (Rusia), Edward IV (England) dan Ludwig II (Bavaria).
Manakala di China pula, beberapa orang Maharaja Dinasti Qing dan pembesar mereka ketagihan candu. Ini menyumbang kepada rasuah, kelemahan pentadbiran dan akhir sekali kepupusan.
Diceritakan dalam hikayat Merong Maha Wangsa yang raja menjadi kejam kerana ketagihan darah. Sekarang mereka tidaklah ketagihan darah. Sebaliknya mereka ketagihan arak dan bahan-bahan lain yang mengkhayalkan sehingga hilang ingatan.
Dalam UKM Journal Article Repository, terdapat kisah penagihan candu di kalangan pembesar Melayu, termasuk beberapa orang Sultan pada zaman penjajahan Inggeris.
Ini tidak menghairankan kerana pada abad ke-19, antara 50 dan 60 peratus hasil Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu adalah berkaitan candu. Hanya pada tahun 1952 barulah candu diharamkan.
Dalam drama “Games of Thrones”, King Aerys II Targaryen, yang dikenali sebagai “Mad King” (Raja Gila), mengamok kerana gangguan mental (paranoia).
Gangguan mental menyebabkannya Baginda mengkhayalkan perkara-perkara aneh, seperti berasa dirinya terlalu penting atau percaya bahawa orang lain sentiasa mengancamnya.
Oleh sebab berasa terancam, ada raja yang menyembunyikan diri dalam Istana dan membawa pengiring bersenjata yang ramai apabila keluar istana.
Salah seorang daripadanya adalah Charles VI, Perancis (1368-1422) yang digelar “Charles the Mad” (Charles yang Gila). Baginda menderita masalah mental (psikosis) yang membuatkannya percaya dia adalah kaca yang akan pecah berkecai jika disentuh. Akibatnya, dia bersembunyi dalam istana, enggan mandi atau menukar pakaian.
Dalam zaman moden ini pun masih kedengaran cerita golongan aristokrat berkelakuan tidak baik, mabuk, kurang siuman, gila seks dan seumpamanya, macam bekas putera Andrew itu.
Sekarang mereka tidaklah ketagihan darah atau candu. Sebaliknya mereka ketagihan seks, minuman keras dan bahan-bahan khayal (psychoactive compounds).
Ulasan ini telah dimuat naik oleh Datuk A Kadir Jasin di laman facebook beliau pada 18 April 2026.
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.