
JOHOR BAHRU | 14 Jun 26 – Gerakan RESET Johor menyatakan kesediaan penuh untuk mentransformasikan keseluruhan 26 bahagiannya di negeri itu ke dalam Parti Wawasan Negara (WAWASAN) susulan pengumuman penyertaan Datuk Seri Hamzah Zainudin ke dalam parti berkenaan.
Penyelaras Gerakan RESET Johor, Datuk Zulkifli Bujang berkata, langkah itu dilihat sebagai kesinambungan kepada perjuangan yang telah digerakkan melalui Gerakan RESET Malaysia sejak penubuhannya awal tahun ini.
Menurut beliau, penubuhan WAWASAN merupakan satu perkembangan penting bagi memastikan agenda perubahan yang diperjuangkan menerusi Gerakan Reset dapat diteruskan menerusi sebuah platform politik yang lebih tersusun dan berkesan.
“Gerakan RESET Malaysia yang diasaskan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas beliau dipecat daripada Bersatu pada Februari lalu telah berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat yang berkongsi aspirasi untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik, adil dan sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha melakukan pembaharuan secara menyeluruh memerlukan sebuah wadah politik yang mampu menterjemahkan idea dan gagasan tersebut kepada dasar serta tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Sehubungan itu, Zulkifli menegaskan bahawa WAWASAN bukan sekadar sebuah parti politik baharu, sebaliknya merupakan kesinambungan kepada perjuangan Reset yang telah digerakkan sebelum ini.
Katanya, kedua-dua platform itu berkongsi matlamat yang sama iaitu memperbetulkan sistem yang memerlukan pembaharuan serta membina Konsensus Nasional Baharu yang mampu menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa transformasi Gerakan RESET ke dalam WAWASAN di seluruh negara akan memperkukuhkan gerakan tersebut dan memperluaskan pengaruhnya di peringkat akar umbi.
“Dengan kekuatan jentera di 26 bahagian di seluruh Johor, kami bersedia meneruskan perjuangan bersama kepimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi membina Malaysia yang lebih harmoni, progresif dan makmur, serta memastikan suara rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Menurut beliau, perjuangan yang dibawa melalui Gerakan RESET tidak terhenti, sebaliknya kini memasuki fasa baharu menerusi wadah politik yang lebih jelas dan tersusun.
Semalam, Hamzah mengumumkan penubuhan Parti Wawasan Negara (WAWASAN) ketika Konvensyen RESET Malaysia. Menurut Hamzah, nama parti tersebut adalah ilham dari Abdul Hadi Awang, Presiden PAS. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.