
SEREMBAN | 14 Jun 26 – Seramai 14 tokoh daripada pelbagai latar belakang termasuk bekas menteri dan bekas anggota EXCO kerajaan negeri diumumkan menyertai PAS dalam satu majlis yang berlangsung di Negeri Sembilan malam tadi.
Pengumuman itu dibuat ketika program politik yang diadakan sempena Konvensyen Reset, sekali gus dilihat sebagai usaha memperkukuh pengaruh PAS menjelang landskap politik baharu pembangkang pasca perpecahan dengan Bersatu.
Antara nama yang diumumkan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim, serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan daripada PKR, Datuk Dr Mohamad Rafie Abd Malek. Turut menyertai parti itu ialah beberapa bekas pemimpin politik, aktivis dan tokoh masyarakat dari pelbagai negeri.
Pengumuman kemasukan kumpulan berkenaan dibuat oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Kehadiran tokoh-tokoh tersebut dilihat memberi suntikan baharu kepada PAS yang kini muncul sebagai parti terbesar dalam blok pembangkang dari segi jumlah Ahli Parlimen.
Perkembangan itu juga berlaku ketika PAS sedang menyusun semula kedudukan politiknya susulan keputusan menamatkan hubungan dengan Bersatu, selain mengukuhkan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang.
Pemerhati politik melihat kemasukan tokoh-tokoh berprofil tinggi tersebut sebagai petunjuk bahawa PAS sedang memperluaskan tarikan politiknya melangkaui kelompok penyokong tradisional parti itu, sekali gus memperkukuh persiapan menghadapi pilihan raya akan datang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.