Saifuddin Pertahan Pengumuman Hadi, Tegaskan Hamzah Wajar Kekal Ketua Pembangkang

Foto – FB Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR | 14 Jun 26 – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyifatkan tindakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa Datuk Seri Hamzah Zainudin kekal sebagai Ketua Pembangkang sebagai sesuatu yang wajar dan selari dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen pembangkang.

Menurut beliau, kritikan yang mendakwa pengumuman tersebut mencerminkan kewujudan “kuasa mullah” dalam politik negara hanyalah pengulangan propaganda lama yang pernah digunakan oleh pihak tertentu untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat.

Saifuddin berkata Abdul Hadi membuat kenyataan itu dalam kapasiti beliau sebagai Presiden PAS dan menyatakan pendirian rasmi parti. Sebagai parti yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen terbesar dalam blok pembangkang, PAS berhak menyatakan pandangannya mengenai kepimpinan pembangkang di Parlimen.

Beliau turut menegaskan bahawa PAS sejak awal lagi konsisten menyokong Hamzah sebagai Ketua Pembangkang dan pendirian itu tidak berubah walaupun selepas Hamzah dipecat daripada Bersatu.

Menurut Saifuddin, pengumuman tersebut dibuat selepas PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu susulan perkembangan dalam Perikatan Nasional (PN), sekali gus mengubah landskap politik pembangkang.

“Pada hari ini, 43 Ahli Parlimen PAS dan 19 Ahli Parlimen yang menyokong Hamzah mahu beliau terus kekal sebagai Ketua Pembangkang. Ini bermakna kira-kira 80 peratus Ahli Parlimen dalam blok pembangkang masih menyokong beliau,” katanya.

Beliau berkata dakwaan bahawa PAS membelakangkan PN adalah tidak tepat kerana pendirian yang dinyatakan PAS selari dengan kehendak majoriti besar Ahli Parlimen pembangkang.

Saifuddin menambah bahawa dalam sistem demokrasi berparlimen, legitimasi sesuatu jawatan politik bergantung kepada sokongan majoriti dan bukannya persepsi atau sentimen politik

Justeru, beliau menegaskan isu utama bukan sama ada Abdul Hadi membelakangkan PN, sebaliknya sama ada majoriti Ahli Parlimen pembangkang masih menyokong Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

“Berdasarkan angka yang ada, jawapannya jelas: ya,” katanya. 

Semalam, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan Hamzah Zainudin kembali menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat. Pengumuman tersebut dibuat di konvesyen RESET Malaysia di Tanah Merah, Kelantan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share