
KUALA LUMPUR, 1 Okt 25 – PAS hari ini mempersoalkan perbelanjaan digunakan bagi menaikkan populariti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di media sosial.
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari turut menyifatkan pendedahan oleh Malaysiakini berkenaan perkara itu adalah sesuatu yang memalukan.
“Berapakah dana awam yang digunakan untuk tujuan ini?
“Jika tidak benar dakwaan (akaun) palsu ini, ambil tindakan segera. Ia dilaporkan secara terbuka dan lengkap dengan bukti.
“Ini benar-benar memalukan negara. Mana nak letak muka?” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Portal itu mendedahkan kewujudan rangkaian sekurang-kurangnya 263 akaun yang terlibat dalam kempen tersusun untuk melonjakkan sokongan terhadap Anwar secara palsu di halaman rasmi Facebooknya.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagaimanapun menafikan mereka tahu atau terlibat dengan rangkaian itu dan menyatakan “tiada asas atau keperluan” untuk mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan.
Dalam responsnya kepada Malaysiakini, PMO mengesahkan tiada dana pembayar cukai digunakan untuk membiayai kegiatan tersebut.
PMO juga menyatakan “kerajaan, kepimpinan parti, mahupun sayap pemudanya tidak mengeluarkan sebarang arahan atau menyediakan sebarang pembiayaan untuk operasi sedemikian.” @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.