
KUALA LUMPUR, 13 NOV 25 – Gerakan calon Bebas di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dikenali sebagai ‘Gelombang Hitam’, muncul sebagai satu cabaran baharu dalam landskap politik negeri itu, kata jurucakapnya, Datuk Verdon Bahanda.
Verdon menegaskan bahawa gerakan ini bukan sebahagian daripada mana-mana parti politik rasmi, sebaliknya lahir daripada kesusahan rakyat sendiri.
“Kami bukan datang dengan poster megah atau janji yang tersusun cantik. Kami datang dengan satu perkara yang tidak boleh dibeli — keikhlasan untuk berjuang. Ini dibentuk oleh pengalaman rakyat, bukan sistem politik,” katanya dalam hantaran di media sosial semasa memperkenalkan 17 calon Bebas Gelombang Hitam.
Verdon sendiri akan bertanding di DUN Tanjung Kapor, manakala calon lain termasuk Nasib Samodi (Banggi), Jomin Mogompit (Mengkoka), Mohd Rizal Saiman (Pintasan), Raymond Alfred (Tamparuli), Shoni Majimbun (Inanam) dan beberapa lagi.
Beliau menekankan bahawa gerakan ini bukan sekadar untuk menang kerusi, tetapi sebagai barisan hadapan menulis sejarah baharu Sabah.
“Kami bukan lawan sesiapa, tapi berdiri kerana rakyat belum dimenangkan. Ini perjuangan hidup kami bukan untuk sorak menang, tapi untuk memenangkan rakyat,” kata Verdon. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.