SPR Bermesyuarat 12 Jun Tentukan Tarikh PRU Negeri Sembilan

PUTRAJAYA | 9 Jun 26 — Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas berhubung Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri (DN) Negeri Sembilan Ke-16 pada 12 Jun ini bagi menetapkan tarikh-tarikh penting pilihan raya tersebut.

SPR dalam satu kenyataan media memaklumkan mesyuarat berkenaan diadakan susulan pembubaran Dewan Negeri Sembilan Ke-15 pada 5 Jun lalu.

Menurut SPR, mesyuarat khas itu akan berlangsung serentak dengan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor Ke-16.

“Mesyuarat Khas berkenaan urusan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16 akan diadakan pada 12 Jun 2026 (Jumaat),” menurut kenyataan tersebut.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun.

Antara perkara yang akan dibincangkan ialah tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian serta daftar pemilih yang akan digunakan bagi PRU Negeri Sembilan.

SPR turut memaklumkan bahawa pelbagai aspek persiapan pilihan raya akan diperhalusi dalam mesyuarat berkenaan bagi memastikan proses demokrasi berjalan lancar.

Satu sidang media dijadualkan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut selesai bagi mengumumkan keputusan dan ketetapan yang dicapai.

Dengan pengumuman itu, tumpuan kini terarah kepada 12 Jun depan yang bakal menentukan jadual rasmi PRU Negeri Sembilan Ke-16, termasuk tarikh penamaan calon dan hari pengundian yang akan menjadi medan ujian penting kepada parti-parti politik menjelang PRU16.

Untuk rekod, DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lalu. Pada penggal lalu, kerajaan negeri dibentuk menerusi kerjasama PH-BN yang menguasai 31 daripada 36 kerusi DUN, terdiri daripada 17 kerusi PH dan 14 kerusi BN. PN pula memenangi lima kerusi. Dengan pembubaran DUN tersebut, rakyat Negeri Sembilan bakal memilih semula 36 wakil rakyat bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share