
KUALA LUMPUR | 16 Apr 26 — Tindakan Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilaporkan menolak penyertaan parti baharu pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainuddin ke dalam Perikatan Nasional (PN) mengundang kritikan terbuka, dengan beliau disifatkan sebagai penghalang kepada agenda penyatuan ummah.
Mantan Ketua Bahagian BERSATU Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail menegaskan bahawa PN bukan milik eksklusif BERSATU, sebaliknya sebuah gabungan yang memerlukan keputusan dibuat secara musyawarah bersama semua parti komponen.
“PN bukan hak mutlak BERSATU. Keputusan perlu dibuat secara kolektif tanpa menafikan peranan PAS sebagai rakan dominan dalam gabungan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menyifatkan alasan yang diberikan oleh Ahmad Faizal berhubung pertemuan Hamzah dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tidak berasas dan remeh, malah memberi gambaran seolah-olah UMNO kini dianggap musuh utama.
Menurutnya, pendekatan sedemikian berisiko menggagalkan usaha penyatuan ummah yang lebih besar, khususnya dalam kalangan parti-parti Melayu.
Dalam masa sama, Fadhli mengangkat Hamzah sebagai tokoh berjiwa besar dan ikon penyatuan yang konsisten memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara, sekali gus memperlihatkan perbezaan pendekatan antara kedua-dua pemimpin tersebut.
Beliau turut mengkritik kecenderungan menggunakan isu bai’ah sebagai hujah politik, sambil menegaskan bahawa integriti dan kelayakan moral pemimpin harus menjadi keutamaan.
Lebih tajam, Fadhli mempersoalkan sama ada wajar rakyat terus menyokong pemimpin yang dikaitkan dengan isu rasuah dan keruntuhan akhlak, sambil mengingatkan bahawa BERSATU asalnya ditubuhkan untuk menentang kleptokrasi.
“Jika budaya kepimpinan seperti ini berterusan, perjuangan asal BERSATU akan tersasar dan akhirnya terkubur,” tegasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.