
KUALA LUMPUR, 5 MEI 25 – Kerajaan disaran mewujudkan platform rundingan antara Petronas dan Petros bagi menyelesaikan pertikaian dan mewujudkan persefahaman antara dua entiti tersebut, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu.
Datuk Ahmad Amzad Mohamed berkata, ini kerana pertikaian antara dua syarikat itu berkait rapat dengan hak dan kawalan sumber minyak dan gas di Sarawak, yang melibatkan prinsip Perlembagaan, kedudukan federalisme, dan autonomi negeri.
“Kerajaan perlu wujudkan platform perundingan rasmi antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Sarawak, Petronas dan Petros.
“Selain itu, peruntukan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974), Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diteliti semula. Kerajaan perlu wujudkan satu jawatankuasa teknikal bersama yang boleh meneliti aspek perundangan dan mencadangkan penyelarasan yang sesuai,” katanya, kepada politiko.my.
Ahmad Amzad berkata, pendekatan menang-menang juga sangat penting dengan Petronas dan Petros perlu membentuk perkongsian strategik, bukan persaingan.
“Contohnya menerusi usahasama (joint venture) dalam eksplorasi atau pengedaran gas dengan membenarkan Petros memainkan peranan lebih besar dalam operasi di Sarawak, tanpa menjejaskan hak Petronas sebagai syarikat minyak negara.
“Penyelesaian ini perlu menjamin keutuhan Persekutuan sambil menghormati aspirasi autonomi Sarawak,” katanya lagi. @politiko.my