
KUALA LUMPUR | 15 Apr 26 — Krisis dalam Perikatan Nasional dilihat semakin memuncak apabila timbul dakwaan bahawa kekecohan berhubung jawatan ketua pembangkang sebenarnya didorong oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia sendiri.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dipetik sebagai berkata, mendakwa Bersatu sengaja memperbesarkan isu tersebut walaupun parti itu telah “mendapat apa yang mereka mahu”.
“Bersatu patut diam sekarang memandangkan mereka dah dapat apa yang mereka mahu,” katanya seperti dilapor FMT.
Dalam masa sama, beliau menegaskan tindakan Hamzah Zainudin melepaskan jawatan bukan satu keperluan, sebaliknya langkah untuk memastikan kestabilan gabungan.
“Beliau tidak perlu letak jawatan tetapi melakukannya demi mengekalkan perpaduan dalam PN. Beliau mengutamakan kepentingan gabungan mengatasi kepentingan sendiri,” katanya.
Kenyataan itu memperlihatkan dua naratif berbeza dalam kemelut PN — Bersatu dilihat sebagai pihak yang terus menekan, manakala Hamzah pula cuba meredakan keadaan bagi mengelakkan perpecahan lebih besar.
Mengulas lanjut, Wan Fayhsal yang juga bekas ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu, menggesa Muhyiddin Yassin mengosongkan tempat duduknya di Dewan Rakyat susulan perubahan dalam kepimpinan gabungan itu.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memberi laluan kepada Ahmad Samsuri Mokhtar, yang dilihat sebagai tokoh sesuai untuk mengambil peranan lebih besar dalam PN.
“Sesiapa sahaja yang dilantik sebagai ketua pembangkang harus mengambil tempat duduk Hamzah,” katanya.
Perkembangan terbaharu ini menguatkan persepsi bahawa krisis dalaman PN bukan lagi bersifat tertutup, sebaliknya telah menjadi pertembungan terbuka melibatkan kepimpinan tertinggi.
Dalam konteks ini, tindakan Hamzah dilihat sebagai usaha “damage control” untuk menyelamatkan perpaduan gabungan, namun persoalan kekal sama, sejauh mana PN mampu bertahan jika konflik dalaman terus berlarutan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.