
MELAKA | 13 Feb 26 – Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Melaka, Tan Sri Prof. Dr. Rahim Tamby Chik, menegaskan bahawa parti kini memerlukan pembaharuan menyeluruh dan penstrukturan semula di peringkat pucuk pimpinan untuk memastikan kelangsungan dan kekuatan perjuangan BERSATU.
Menurut beliau, kegagalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin menangani kemelut dalaman telah menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan ahli dan rakyat, sekali gus menjejaskan kewibawaan kepimpinan dan prestasi parti.
Tindakan Lembaga Disiplin yang dikenakan kepada beberapa tokoh pimpinan pula dilihat sebagai instrumen untuk membungkam suara kritikal, menimbulkan kegusaran ahli terhadap hak bersuara dalam parti.
Seiring itu, tiga Ketua Bahagian lain turut menegaskan perlunya perubahan. YB Dr Mohd Yadzil Yaakub (Jasin) menyatakan kegusaran terhadap hubungan BERSATU dengan parti komponen, khususnya PAS, yang kini semakin tidak harmoni berikutan pengurusan isu di Perlis yang dianggap gagal.
En Ramlan Meon (Tangga Batu) menekankan bahawa tindakan pimpinan lantikan menyerang parti komponen secara terbuka mencerminkan kelemahan pengurusan politik dan bertentangan dengan semangat kesepaduan Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Tn Hj Jeffri Ibrahim (Hang Tuah Jaya) menyorot cabaran kepimpinan menghadapi pilihan raya akan datang, termasuk Pilihan Raya Negeri Melaka, dengan menegaskan bahawa parti memerlukan pemimpin yang dinamik, berwibawa, dan mampu menyatukan semua pihak, bukannya sekadar populariti semata-mata.
Kesemua mereka bersetuju bahawa kepimpinan baharu, di bawah teraju Timbalan Presiden Dato’ Sri Hamzah Zainuddin, adalah langkah wajar untuk memberikan nafas baharu kepada BERSATU, mengekalkan kestabilan PN, dan memastikan perjuangan parti lebih diyakini oleh ahli dan rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.