Wawancara bersama Datuk Wan Saiful Wan Jan – Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga bekas Ketua Penerangan BERSATU
WARTAWAN: Nampak tindakan BERSATU memecat dan menggantung wakil rakyat seperti menyekat kebebasan bersuara dalam parti?
WSWJ: Siri tindakan disiplin diambil BERSATU adalah hanya untuk menyelamatkan kedudukan pasangan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Sesiapa menyuarakan pandangan era Muhyiddin sudah berakhir atau menyanggah Azmin akan dikenakan tindakan.
Realitinya dalam BERSATU, ramai berasakan parti memerlukan tenaga dan wajah baharu. Tetapi apabila Muhyiddin mahu memegang kuasa selama-lamanya, walaupun umur semakin lanjut dan sudah menghampiri 80 tahun, maka sudah pasti ramai memprotes.
Itu menyebabkan ramai pemimpin akar umbi berasakan BERSATU hilang semangat perjuangan, tetapi sebaliknya diperkuda mengejar jawatan sahaja. Tapi apakan daya. Kita selalu bercakap mengenai zalimnya penggunaan Akta Hasutan untuk mengekang kebebasan bersuara. Rupanya Muhyiddin memperkudakan peraturan parti untuk tujuan sama.
WARTAWAN: Datuk setuju keputusan parti ini hanya melemahkan lagi BERSATU dan PN?
WSWJ: Tentulah tindakan BERSATU itu memberi kesan negatif kepada PN sehingga parti itu kini dilihat liabiliti kepada PN. Apa tidaknya, BERSATU hanya tinggal enam Ahli Parlimen sedangkan 19 lagi bersama dalam Gerakan Reset.
BERSATU sudah jadi lebih kecil daripada AMANAH. Malah, ahli Parlimen Bebas pun lebih ramai daripada Ahli Parlimen BERSATU. Tetapi BERSATU masih berperangai seperti abang besar dalam PN dan mahu memaksa PN mengikut cakapnya, termasuklah dalam pertukaran Ketua Pembangkang dan menyukarkan penerimaan kemasukan parti baharu dalam PN.
Ini semua akan merencatkan perkembangan PN. Adakah BERSATU sengaja mahu melemahkan PN disebabkan ada perjanjian sulit dengan mana-mana pihak untuk menyelamatkan pemimpin tertentu sedang dilanda masalah.
WARTAWAN: Kelihatannya keputusan parti ini memberi kelebihan kepada kerajaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)?
WSWJ: Semua tindakan BERSATU menyebabkan rakyat melihat PN berpecah dan lemah. Sebenarnya, yang mencetus masalah hanyalah kem kecil Muhyiddin-Azmin dalam BERSATU, bukan PN keseluruhan. Tapi persepsi sudah jadi negatif disebabkan ada seorang saja yang gila talak dengan jawatan Perdana Menteri.
Jika BERSATU terus berada dalam PN, kesannya ialah PN jadi lemah dan PH-BN akan kelihatan lebih stabil menghadapi PRU16. Sukar dibaca apakah nilai tambah dibawa BERSATU dalam PN hari ini. Ketika saya didakwa di mahkamah tiga tahun lalu, saya terus letak jawatan dalam parti untuk mengelak jadi beban kepada parti. Tetapi Muhyiddin tidak mahu meletak jawatan atau bercuti apabila beliau didakwa.
Kes Muhyiddin pasti akan jadi isu dalam PRU16. Ditambah lagi dengan dakwaan masalah moral terhadap Azmin ia akan jadi lebih buruk. Maka apa faedahnya PN mengekalkan BERSATU dalam gabungan?
WARTAWAN: Apa matlamat dan wawasan Gerakan Reset jika ditubuhkan. Adakah hendak ganti PN atau menguburkan BERSATU?
WSWJ: Gerakan Reset ialah satu gerakan rakyat untuk sama-sama membina Malaysia lebih baik. Dalam Gerakan Reset, akan ada parti politik bakal diumumkan apabila masanya sesuai. Di dalamnya juga ada banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ramai individu berpengaruh bersama kita. Dari segi politik, kita menyokong agenda PN. Sudah pasti kita akan ada parti.
Perkara ini akan diumumkan apabila tiba masanya. Buat masa ini, kita kekal sebagai gerakan rakyat. Visi kita ialah membina satu konsensus nasional baharu. Kita memperjuangkan tiga tiang utama.
Pertama matlamat dikongsi. Kedua kemakmuran bersama dan ketiga, tadbir urus berperikemanusiaan. Berbekalkan 19 Ahli Parlimen dan lebih 30 ADUN, kita ada tapak besar mengangkat martabat rakyat. Apabila kita umumkan parti nanti, akan ada lebih 150 bahagian.
Semua ini menjadikan Gerakan Reset dan parti kita dukungi sebagai pemain utama memacu wawasan negara pada tahun mendatang.
Mengenai BERSATU, saya berpandangan ia bukan lagi parti memperjuangkan agenda rakyat. Ia menjadi parti memperjuangkan Muhyiddin dan Azmin sahaja. Ia menjadi parti tidak signifikan. Sudah tiba masanya keahlian BERSATU dalam PN dipertimbang semula secara objektif oleh parti komponen PN.
WARTAWAN: Adakah kumpulan dipecat dan digantung ini bersedia memasuki UMNO atau menyertai Rumah Bangsa serta Musyawarah Nasional?
WSWJ: Agenda politik kiri dibawa PH adalah satu agenda kami tidak boleh terima. Selagi sesebuah entiti rela menjadi alat kepada PH, sukar untuk kita memandang serius usaha mereka. Tetapi jika mereka sanggup meninggalkan semua agenda songsang itu, maka kita boleh berbincang mencapai satu konsensus baharu.
WARTAWAN: Bagaimana pandangan kewujudan lagi sebuah parti baharu merugikan Melayu sebab pecahkan undi kaum ini?
WSWJ: Saya setuju pandangan ini. Tapi apa lagi pilihan kita ada apabila parti yang ada sudah lari daripada matlamat asal dan menunjukkan kecenderungan kepada perkara yang salah.
UMNO sudah menjadi sayap Melayu kepada PH. BERSATU pula mahu mengangkat individu bermasalah moral. Takkan kita nak jadi pak turut jika kita sedar keadaan sudah songsang?
Fokus PN pula apa. Adakah fokus PN untuk memasukkan Hamzah dan Geng SD atau menjaga hubungan sesama anggota PN demi mengukuhkan PN terlebih dulu. Jika Hamzah dan kumpulannya berkeras hendak masuk PN juga walaupun ada penolakan dan pada waktu sama ada pilihan untuk mereka bergerak solo atau menyertai Rumah Bangsa, maka persoalannya adakah Hamzah benar-benar faham maksud Konsensus Nasional, ikhlas mahukan penyatuan Melayu-Islam atau Hamzah dan Geng SD adalah ‘Kuda Trojan’ digunakan untuk merosakkan perpaduan dan keharmonian dalam BERSATU dan PN, bertujuan memecahkan undi Melayu-Islam bagi membuka jalan mudah PH kekal sebagai kerajaan selepas PRU16?
WARTAWAN: Sejauh mana benarnya dakwaan keputusan BERSATU ini hendak menaikkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai pemimpin utama parti?
WSWJ: Azmin tidak melanggar perlembagaan parti. Beliau tidak melanggar baiah dan sumpah atas nama Allah dilafazkan wakil rakyat parti. Beliau juga tidak terbabit dalam rundingan haram tanpa mandat dengan parti musuh dan pihak luar. Ini berbeza dengan wakil rakyat dikenakan tindakan Lembaga Disiplin.
Belum ada cerita kem Zahid atau kem Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menjadikan beliau Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri macam yang berlaku ke atas Hamzah. Belum ada penyokong Azmin mengumpul SD dan membuat kenyataan mahu menyingkirkan Presiden kerana Azmin disokong pihak musuh atau pihak luar seperti dilakukan kem Hamzah.
Dari segi prestasi, prestasi Azmin sebagai Setiausaha Agung BERSATU jauh lebih cemerlang berbanding Hamzah. Hari ini urusan mesyuarat, pentadbiran dan pengurusan parti, sistem data keahlian dan program parti jauh lebih tersusun dan teratur berbanding sebelum ini.
Dari segi pengalaman, Azmin jauh lebih banyak pengalaman pentadbiran dalam Kerajaan Pusat dan negeri. Beliau mempunyai rekod pencapaian baik di kementerian diketuainya dan pencapaian hebat ketika menjadi Menteri Besar Selangor.
Beliau terbukti jauh lebih berkesan sebagai Ketua Pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Azmin mempunyai merit dan wibawanya sendiri. Tidak perlu memijak kaki sesiapa, menjatuhkan sesiapa atau berpakat dengan pihak luar untuk diiktiraf dan diakui lebih berkualiti. Hanya perlu buat kerja dan niat dengan betul. Hanya mereka yang ada niat jahat dan ada masalah dalaman jiwa sahaja perlu menggunakan pelbagai muslihat untuk mengangkat diri.
Wawancara ini telah di siarkan di Berita Harian, 17 Mei 26 dengan tajuk – BERSATU diperkudakan kekal Muhyiddin mahu angkat Azmin
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.