BERSATU Pilih Mufarakah Dengan PN – Annuar Musa

KUALA LUMPUR | 16 Julai 26 – Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai tindakan memilih untuk “mufarakah” atau berpisah daripada Perikatan Nasional (PN) secara sukarela.

Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengumuman BERSATU itu membawa maksud parti berkenaan memilih untuk bergerak berasingan daripada PN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Menurut beliau, keputusan mengenai calon, pembahagian kerusi dan penggunaan lambang PN hanya akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan pada 16 Julai 2026.

“Pilihan BERSATU untuk mendahului keputusan Majlis Tertinggi PN adalah hak mereka dan kita harus menghormatinya,” katanya dalam kenyataan.

Annuar berkata, keputusan tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pihaknya telah dimaklumkan sejak bulan lalu mengenai perancangan BERSATU untuk mewujudkan satu platform politik lain di luar PN.

Menurut beliau, PAS juga memahami pendirian BERSATU yang dilihat konsisten menolak usaha penyatuan dan muafakat Melayu serta cadangan untuk membuka PN kepada lebih banyak parti Melayu lain.

“Apapun alasan yang digunakan untuk bertanding dengan logo sendiri di PRN Negeri Sembilan, kita fahami terutama apabila BERSATU sebenarnya telah memaklumkan secara rasmi kepada Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN hasrat untuk mendapatkan 15 kerusi sebagai senarai keutamaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata permintaan tersebut sukar direalisasikan kerana PN mempunyai enam parti gabungan yang turut perlu diberikan pertimbangan dalam pembahagian kerusi.

“Tidak mungkin semua mesti dibolot BERSATU,” katanya.

Annuar berkata, keputusan menggunakan logo sendiri adalah pilihan terbaik buat BERSATU kerana ia memberi kebebasan kepada parti itu untuk bertanding sebanyak 15 kerusi atau lebih dalam PRN Negeri Sembilan sekiranya berhasrat berbuat demikian.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pendirian PAS adalah mengutamakan penyatuan ummah berbanding perebutan jumlah kerusi.

“Bagi PAS, penyatuan ummah kita dahulukan, bukan jumlah kerusi,” katanya sambil mengucapkan selamat maju jaya kepada BERSATU.

Perkembangan itu menyusul selepas BERSATU mengumumkan keputusan menggunakan logo parti sendiri dalam PRN Negeri Sembilan, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai hala tuju hubungan parti itu dengan PN selepas berlaku ketegangan berhubung kerjasama politik PAS-BN. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share