Parti Komponen IPR Gesa BERSATU Keluar PN

KUALA LUMPUR | 16 Julai 26 – Kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) semakin mendapat perhatian apabila parti komponen dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), Urimai, menggesa BERSATU meninggalkan gabungan itu susulan perkembangan terbaharu melibatkan kerjasama PAS dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Urimai, P. Ramasamy, berkata BERSATU perlu mempertimbangkan untuk keluar daripada PN kerana mendakwa gabungan itu tidak lagi berada pada landasan asal selepas PAS mengambil pendekatan politik baharu dengan bekerjasama bersama BN.

Menurut beliau, BERSATU perlu mencari pendekatan baharu dengan membentuk satu gabungan politik yang lebih besar bagi menghadapi persaingan dengan BN dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berpandangan, keputusan PAS untuk bergerak bersama BN menunjukkan BERSATU semakin kehilangan ruang dalam PN, selain mendakwa kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam gabungan itu semakin sukar dipertahankan.

“Sudah tiba masanya Bersatu meninggalkan PN dan mencari satu platform baharu,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Gesaan itu dibuat selepas BERSATU sebelum ini melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan PAS yang didakwa mengadakan rundingan kerjasama dengan BN tanpa persetujuan Majlis Tertinggi PN.

BERSATU turut mengumumkan keputusan untuk menggunakan logo parti sendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas rundingan pembahagian kerusi dalam PN tidak mencapai persetujuan.

Perkembangan berkenaan mencetuskan persoalan mengenai masa depan hubungan antara BERSATU dan PAS dalam PN, terutama selepas PAS dilihat mengambil pendekatan lebih terbuka terhadap kerjasama politik dengan BN.

Walaupun gesaan Ramasamy datang daripada pemimpin parti komponen IPR dan bukan keputusan rasmi seluruh gabungan, kenyataan itu mencerminkan tekanan politik yang semakin meningkat terhadap BERSATU untuk menentukan hala tuju baharu selepas berlaku perubahan besar dalam konfigurasi politik pembangkang. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share