Bersatu Port Dickson Akan Persembah Memorandum Pertahan Bahasa Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 11 MEI 25 – Bersatu Bahagian Port Dickson akan menghadap ke Istana Negeri dalam masa terdekat bagi mempersembahkan memorandum mempertahankan kedaulatan Bahasa Kebangsaan.

Ketuanya, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai CheguBard berkata, tindakan itu sebagai respon terhadap isu penggunaan papan tanda jalan yang menggunakan tulisan Mandarin di sekitar kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Menurutnya, perkara itu mencetuskan bantahan pelbagai pihak kerana dianggap mencabar kedudukan Bahasa Kebangsaan yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Perbuatan meletakkan papan tanda dalam tulisan asing tanpa mendahulukan Bahasa Kebangsaan adalah tindakan yang menyentuh sensitiviti rakyat dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan serta titah Raja-Raja Melayu,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya.

Beliau turut mempersoalkan pengumuman MPPD yang menyatakan akan menurunkan papan tanda berbahasa Mandarin dan menggantikannya dengan papan tanda dwibahasa, sambil mengakui terdapat pelanggaran undang-undang tetapi memberi pengecualian khas.

“Kami berpandangan pengecualian ini tidak wajar kerana jelas melanggar undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan dan peraturan pusat berkaitan penggunaan papan tanda,” katanya lagi.

CheguBard menambah bahawa isu penggunaan tulisan asing di papan tanda pernah mencetuskan kontroversi di Selangor sebelum ini sehingga mendapat teguran daripada Sultan Selangor, yang menitahkan supaya papan tanda berkenaan ditanggalkan.

“Perkara ini bukan isu baharu. Malangnya, ia berulang semula di Port Dickson. Isu ini telah dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh wakil pembangkang namun respon daripada kerajaan negeri amat mengecewakan kerana dianggap remeh,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut membangkitkan isu penukaran nama Jalan Temiang kepada Jalan Chen Man Hin yang disifatkan sebagai pengabaian terhadap sejarah tempatan.

Menurut beliau, kerajaan negeri dilihat gagal mempertahankan identiti nasional dan kontrak sosial, dan oleh itu menyeru rakyat agar bersatu dalam menyokong Perikatan Nasional (PN). @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share