
KUALA LUMPUR, 8 Okt 25 — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, memberi amaran kepada kepimpinan parti supaya tidak terlalu menekan ahli yang sedang disiasat oleh lembaga disiplin, kerana tindakan sedemikian mungkin mengundang reaksi tidak diingini dari dalam parti.
Memetik laporan malaysiakini, Wan Saiful mendakwa beliau dan kumpulannya mempunyai maklumat dalaman bahawa ada individu dalam Bersatu yang telah menghubungi pihak lawan atau kerajaan, serta menerima wang berjuta-juta ringgit dari sumber luar parti, tetapi memilih untuk tidak mendedahkannya demi menjaga kepentingan parti.
“Tapi kita tak dedahkan setakat ini, cuma janganlah ‘tolak’ kuat sangat sebab takut nanti ada reaksi,” katanya selepas memberikan keterangan kepada Lembaga Disiplin Bersatu di ibu pejabat parti, hari ini.
Dalam prosiding ringkas di hadapan lembaga disiplin, Wan Saiful menyatakan bahawa beliau menyampaikan pandangannya mengenai prosedur serta tuduhan, namun enggan mengulas terperinci demi menjaga maruah parti.
“Kita bukan macam beberapa orang lain yang tabur cerita seluruh Malaysia … kita sayang parti, jadi kita jaga,” ujarnya.
Beliau turut menyelar pihak dalam parti yang menggunakan media sosial dan kempen “black ops” untuk menyerang sesama anggota.
Sambil menegaskan bahawa beliau pernah ditawar peluang menyertai pihak lawan, Wan Saiful berkata beliau menolak tawaran tersebut kerana komitmen dan kesetiaan kepada Bersatu.
Kenyataannya itu muncul di tengah ketegangan dalaman parti berkaitan prosiding disiplin terhadapnya dan beberapa ahli lain yang mengkritik pentadbiran parti. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.